Disediakan Rosdi Md Zin - Pegawai Farmasi Hospital Melaka

Berpuasa ketika Ramadan adalah kewajipan bagi Muslim di seluruh dunia.

Berpuasa adalah menahan diri daripada makan dan minum dan perkara yang boleh membatalkan puasa dari terbit fajar hingga terbenam matahari.

Walaupun begitu, Allah memberi kelonggaran kepada beberapa golongan yang tidak berupaya untuk berpuasa, antaranya ibu mengandung, menyusukan anak, musafir dan penghidap penyakit yang tidak boleh sembuh.

Ganjaran pahala yang besar dan rahmat melimpah luas sepanjang Ramadan menjadikan puasa ibadat yang dinanti-nanti seluruh umat Islam.

Ini termasuk golongan berpenyakit kronik seperti pesakit diabetes.

Namun begitu, puasa yang membabitkan pengurangan pengambilan makanan dan minuman pada waktu siang boleh menjejaskan kepatuhan pesakit terhadap pengambilan ubatan dan mengakibatkan aras gula dalam darah tidak terkawal.

Pesakit diabetes perlu lebih peka terhadap keperluan mendapatkan maklumat terperinci daripada doktor dan pegawai farmasi sebelum Ramadan bagi memastikan kawalan gula dalam darah berada pada aras yang memuaskan, selain mengelak mengalami hipoglisemia.

Hipoglisemia berlaku apabila aras gula dalam darah pesakit di bawah 3.9 mmol/L. Ini akan menyebabkan pesakit mengalami beberapa gejala seperti berpeluh dengan banyak, menggigil, degupan jantung berdebar-debar, pening, mengantuk dan lapar.

Hipoglisemia yang teruk boleh mengakibatkan pesakit pengsan, sawan ataupun koma.

Insulin ataupun ubat yang diambil bagi mengawal aras gula dalam darah boleh menyebabkan berlakunya hipoglisemia.

Ketika Ramadan, kajian mendapati risiko berlakunya hipoglisemia dalam kalangan pesakit berpuasa lebih tinggi berbanding pesakit yang tidak berpuasa.

Kajian menunjukkan antara faktor berlaku hipoglisemia ketika Ramadan adalah perubahan pengambilan pemakanan, aktiviti fizikal yang ketara dan dos ubat yang diambil.

Ubatan pesakit diabetes yang berpuasa pada Ramadan akan diubah suai bagi waktu berpuasa.

Contohnya, ubatan yang biasanya dimakan pada waktu pagi dan malam mungkin diubah ke waktu sahur dan berbuka.

Selain itu, dos dan masa insulin dicucuk juga berubah mengikut keperluan dan pengambilan makanan pesakit.

Kebiasaannya, doktor akan memaklumkan semua maklumat perubahan ini kepada pesakit. Ketika pendispensan ubat, pegawai farmasi akan menekankan berkenaan perubahan kepada dos dan masa pengambilan ubatan yang diambil oleh pesakit.

Namun begitu, jika pesakit mengalami gejala hipoglisemia ketika berpuasa, berikut adalah langkah yang perlu diikuti:

1. Periksa aras gula dalam darah.

2. Jika aras gula adalah di bawah 3.9 mmol/L, pesakit digalakkan berbuka puasa dan mengambil gula glukos atau karbohidrat ringkas seperti gula-gula, madu, manisan atau setengah cawan jus buah-buahan.

Bagaimanapun, terdapat situasi pesakit tidak menunjukkan bacaan gula dalam darah kurang daripada 3.9 mmol/L namun masih mengalami tanda hipoglisemia. Maka dalam keadaan ini teruskan rawatan yang sama.

3. Selepas 15 minit, pesakit mestilah memeriksa semula paras gula dan jika masih rendah, pesakit perlu ulangi mengambil gula glukos atau karbohidrat ringkas seperti contoh di langkah 2.

4. Jika paras gula dalam darah kembali normal atau tiada tanda hipoglisemia selepas itu, pesakit digalakkan makan sedikit seperti dua keping biskut atau roti untuk mengelakkan hipoglisemia berulang.

Pesakit dinasihat segera mendapat rawatan doktor jika gejala hipoglisemia masih berterusan atau aras gula masih rendah.

Langkah ini penting bagi mengelakkan hipoglisemia yang teruk dan pesakit dapat menjalankan ibadat puasa dengan selamat dan sihat.

Sebagai langkah awal, pesakit perlu lebih proaktif mengawal aras gula dalam darah jika ingin berpuasa pada Ramadan.

Oleh itu, langkah berikut boleh diambil:

i. Mendapatkan konsultasi daripada doktor, jururawat diabetes atau pegawai farmasi untuk melihat semula aras gula dan kesesuaian untuk berpuasa.

ii. Mengetahui dan memantau tanda dan gejala berlakunya hipoglisemia dan hiperglisemia (aras gula yang tinggi).

iii. Mengambil ubat-ubatan yang diberikan seperti disarankan doktor.

iv. Melakukan aktiviti sederhana pada waktu petang.

v. Menguji aras gula dalam darah sebelum sahur, dua jam selepas berbuka dan pada waktu tengah hari jika perlu.

vi. Jika berlaku sebarang komplikasi seperti hipoglisemia, pesakit digalakkan berbuka dan mendapatkan rawatan segera.

vii. Jika tidak sihat dan pengambilan makanan sewaktu sahur dan berbuka terganggu, pesakit tidak digalakkan berpuasa.

viii. Jika mampu, pesakit perlu memberikan maklum balas berkaitan pencapaian dan masalah dalam berpuasa ketika Ramadan kepada doktor yang merawat.

Mengawal aras gula dalam darah dalam kalangan pesakit diabetes menjadi cabaran bukan saja kepada pesakit itu sendiri, malah doktor yang merawat.

Kerjasama dan perbincangan mengenai keperluan pesakit diabetes ketika berpuasa perlu dijalankan sebelum bermula Ramadan.

Pertanyaan lanjut mengenai ubatan, hubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (NPCC) melalui talian 1800-88- 6722 (Isnin hingga Jumaat dari jam 8 pagi hingga 5 petang).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Mei 2018 @ 12:00 AM