AKTIVITI ‘goosebumps rope course’ yang yang mencabar adrenalin.
AKTIVITI ‘goosebumps rope course’ yang yang mencabar adrenalin.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


Agak lama penulis tidak melakukan aktiviti sukan yang mencabar adrenalin.

Faktor tugas dan beberapa komitmen lain menyebabkan penulis melupakan seketika aktiviti itu.

Namun, penulis berpeluang melakukan aktiviti yang menaikkan hormon itu apabila menerima undangan media ke program Wetlands Discovery Day & Team Building Preview di Gamuda Cov, Selangor baru-baru ini.

Beberapa hari sebelum berlangsungnya program itu, penulis sempat meneliti jadual aktiviti dan terbit perasaan bimbang kerana ada dua aktiviti yang membabitkan tempat tinggi disediakan untuk media.

Pada mulanya berasa '50-50' untuk melakukan aktiviti itu kerana penulis mempunyai akrofobia iaitu takut berada pada tempat yang tinggi.

Bagaimanapun, perasaan itu berubah dan mempunyai keinginan untuk mencuba aktiviti 'goosebumps rope course' serta 'cove aerobar experience.'

Tambahan pula, media dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan penyertaan penulis dalam aktiviti berkenaan untuk membantu kemenangan kumpulan yang disertai 14 media daripada pelbagai agensi.

MENUNGGANG ATV di laluan kawasan berbukit, berpasir dan berlumpur.
MENUNGGANG ATV di laluan kawasan berbukit, berpasir dan berlumpur.

Aktiviti 'goosebumps rope course' memang mendebarkan buat mereka yang mempunyai masalah akrofobia tetapi ia pengalaman menyeronokkan.

Ia berketinggian keseluruhan 16 meter yang disediakan pelbagai laluan berhalangan berbeza mengikut ketinggian.

Untuk aktiviti ini, penulis memilih laluan paling mudah untuk mendapatkan bendera mengikut warna kumpulan yang disediakan di setiap titik pemeriksaan ('check point').

Selain itu, 'goosebumps rope course' mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Record (MBOR) kerana mempunyai elemen pendakian yang banyak untuk dewasa iaitu 57 elemen dan kanak-kanak (11 elemen).

Cabaran seterusnya ialah aktiviti 'cove aerobar experience' dan perasaan takut lenyap apabila dapat menyaksikan pemandangan indah keseluruhan Discovery Park dan 'Paya Indah Discovery Wetlands' pada ketinggian 35 meter.

AKTIVITI memanah juga disediakan.
AKTIVITI memanah juga disediakan.

Aktiviti ini adalah yang pertama di Asia Tenggara dan aerobar ini boleh memuatkan 16 penumpang dalam satu perjalanan ke puncak.

Di samping itu, penumpang juga boleh menikmati makanan ringan daripada Cove Aerobar Cafe.

Pada masa sama, penulis turut mencuba tiga aktiviti lain yang menjadi tarikh baharu di Discovery Park iaitu 'electric go-karting' (RUD karting, 'pintball' dan menunggang kenderaan serba rupa bumi (ATV).

Memandu RUD karting adalah aktiviti yang sudah lama diimpikan penulis dan undangan ke program berkenaan adalah peluang keemasan untuk merasai pengalaman ini.

Mulanya berasa kekok untuk mengendalikan kenderaan ini kerana ia agak laju, selain perlu cekap mengawal selekoh di litar.

PENGUNJUNG memandu RUD karting.
PENGUNJUNG memandu RUD karting.

Lama kelamaan penulis mendapat rentak dan selesa memandu kenderaan itu serta merasakan tempoh 10 minit tidak mencukupi!

Menunggang ATV di Gamuda Cove berbeza di tempat lain kerana laluannya merangkumi kawasan berbukit, berpasir dan berlumpur.

Terdapat dua sesi menunggang ATV iaitu 20 minit dan 40 minit yang akan memberikan pengalaman menarik kepada penunggang.

Selain itu, terdapat tarikan yang mesti dikunjungi di Gamuda Cove iaitu 'Wetland Arboretum Centre' yang dikhaskan untuk penyelidikan alam semula jadi dan pemuliharaan hutan.

AKTIVITI pintball ialah tarikan baharu di Discovery Park.
AKTIVITI pintball ialah tarikan baharu di Discovery Park.

Pusat ini juga mempamerkan spesimen tumbuhan tipikal untuk habitat hutan paya gambut.

'Wetland Arboretum Centre' menunjukkan komitmen tinggi Gamuda Cove untuk memperkasakan kehidupan mampan, pemuliharaan dan pemeliharaan kepelbagaian biologi.

Terdapat juga bengkel kraf tangan Orang Asli di pusat berkenaan dan peserta turut mencuba menghasilkan beberapa kraftangan tradisional komuniti terbabit.

LADANG herba di Wetlands Arboretum Centre.
LADANG herba di Wetlands Arboretum Centre.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Oktober 2023 @ 6:20 AM