AIR Terjun Sofea Jane.
AIR Terjun Sofea Jane.
Daraizati Debon

rencana @hmetro.com.my

TIDAK ramai mengetahui berhampiran pinggir Kuala Lumpur juga terdapat beberapa air terjun yang menarik untuk dikunjungi.

Antaranya Air Terjun Sofea Jane atau nama sebenarnya Air Terjun Kubang Gajah di Kemensah, Selangor.

Hanya satu jalan saja untuk ke air terjun ini iaitu melalui jalan dari Zoo Negara hingga ke ATV Adventure.

Di sini anda akan dihidangkan dengan pemandangan kiri kanan air sungai yang mengalir laju.

Terdapat juga pelbagai chalet sepanjang perjalanan dan anda dinasihatkan berhati-hati ketika memandu kerana jalannya sedikit kecil dan berlubang.

Di ATV Adventure, pengunjung boleh meletakkan kenderaan di situ dengan bayaran sekitar RM5 yang turut menyediakan kemudahan seperti bilik air, surau dan aktiviti permainan 'paintball' andai berminat.

PENULIS (dua dari kiri) bersama rakan.
PENULIS (dua dari kiri) bersama rakan.

BERKELAH sambil menikmati keindahan alam.
BERKELAH sambil menikmati keindahan alam.

Seandainya anda seorang yang sukakan cabaran dan kelainan, boleh memilih untuk menaiki kenderaan serba rupa bumi atau lebih dikenali 'all terrain vehicle' (ATV) untuk ke Air Terjun Sofea Jane.

Untuk kunjungan kali ini, penulis memilih berjalan dari tempat parkir kereta. Laluannya santai hanya mengambil masa 45 minit untuk ke air terjun terbabit.

Anda yang ingin ke air terjun itu dinasihatkan supaya memakai kasut getah dan bertongkat kerana laluannya boleh menjadi becak apabila hujan.

Perjalanan dimulakan dengan melalui jalan tar selama lima hingga 10 minit sebelum melalui laluan ATV yang disediakan.

Walaupun terdapat beberapa simpang namun laluan itu tetap akan menuju ke Air Terjun Sofea Jane dengan kesukaran berbeza.

KEINDAHAN air terjun masih terpelihara.
KEINDAHAN air terjun masih terpelihara.

Menariknya di sini, pengunjung dihidangkan dengan pelbagai pokok buah-buahan tempatan seperti durian, cempedak dan sebagainya.

Setibanya di sebuah kawasan lapang, anda mungkin sedikit keliru sama ada perlu ke kiri atau terus.

Untuk ke Air Terjun Sofea Jane ini teruskan saja perjalanan anda namun saya nasihatkan agar memilih trek hutan di sebelah laluan ATV.

Ia sedikit jauh tapi lebih selamat kerana anda tidak akan bertembung dengan ATV yang laju menuruni laluan itu.

Jadi nasihat penulis pilih laluan hutan bersebelahan dengan laluan ATV lebih luas dan santai.

LALUAN menuju ke air terjun.
LALUAN menuju ke air terjun.

ATV turut disediakan kepada pengunjung inginkan kelainan.
ATV turut disediakan kepada pengunjung inginkan kelainan.

Lebih kurang 10 minit berjalan, dari kejauhan, anda akan dapat mendengar deruan air terjun.

Seandainya anda memerlukan privasi, naik ke atas lagi sehingga bertemu dengan tangga buatan.

Namun, penulis memilih untuk berada di bawah saja untuk menikmati keindahan air terjun yang membuai jiwa.

Biasanya penulis meluangkan masa lebih kurang empat hingga lima jam dan kepuasan terbaik untuk mengisi masa lapang ketika hujung minggu.

Nasihat penulis seandainya hujan, cuba elakkan mandi di air terjun kerana takutkan kepala air.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Februari 2021 @ 6:20 AM