LEBIH santai dengan aktiviti FunRide ATV.
LEBIH santai dengan aktiviti FunRide ATV.
Nurul Husna Mahmud


PEMINAT aktiviti lasak sukakan pengalaman merentas hutan boleh mencuba menunggang kenderaan serba rupa bumi atau lebih dikenali all terrain vehicle (ATV).

Kenderaan menyerupai motosikal tetapi memiliki empat roda ini tidak semestinya memerlukan individu memiliki lesen kelas B mengendalikannya, sebaliknya memadai sesi ice breaking lima minit hingga 10 minit sudah boleh menunggang dengan lancar.

Pengalaman penulis sendiri, menunggang ATV tetap dirasakan berbeza dengan motosikal, menariknya ia jauh lebih stabil meskipun menuruni dan mendaki bukit yang curam atau permukaan tidak sekata.

Ia digerakkan dengan memulas pemegang dan memiliki brek di bahagian sama bagi memudahkan kawalan.

Cuma gear mengundur atau bergerak ke hadapan terletak di bahagian kaki boleh diubah mengikut keperluan dan spesifikasi ini mungkin berubah mengikut model kenderaan itu.

Bagi aktiviti rekreasi ATV dalam hutan terdapat beberapa lokasi boleh dicuba pengunjung dan di sini penulis senaraikan tiga port menarik boleh dilawati selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kelak.

PELANCONG asing mencuba aktiviti ATV.
PELANCONG asing mencuba aktiviti ATV.

1. Nur Lembah Bestari Eco

Resort, Sungai Tua Gombak, Selangor.

Satu kelebihan lokasi ini ialah terletak di kawasan destinasi air terjun popular iaitu Ulu Yam.

Pilihan bagi pengalaman ATV di sini pengunjung boleh memilih untuk menunggang secara santai iaitu 20 minit sekitar kem sehinggalah kepada ekplorasi trek merentas hutan sepanjang lapan kilometer boleh memakan masa perjalanan tidak kurang dua jam.

Bagi trek di hutan bukan sahaja trek kering, pengalaman ‘berendam’ mungkin dirasai kerana ada sesetengah laluan memerlukan menyusuri anak sungai.

Kapasiti ATV di pusat rekreasi ini boleh dilakukan dalam kumpulan kecil sekitar dua hingga lapan orang ditemani dua pembantu atau jurulatih rekreasi yang berpengalaman.

2. ATV Adventure Park

Kampung Kemensah, Kuala Lumpur

Bagi mereka yang tinggal sekitar Ulu Kelang mahupun Ampang, lokasi ini paling dekat dengan anda.

Pusat rekreasi ini menawarkan pengalaman ATV daripada perjalanan satu jam sehingga lima jam bergantung kepada kesukaran dan destinasi dipilih.

Antara perhentian popular bagi pengunjung di sini ialah Air Terjun Sofea Jane, Bukit Tabur, Sungai Liza dan empangan berbeza mengikut pakej dipilih.

Destinasi ini boleh memenuhi permintaan kumpulan ramai atau korporat apabila memiliki 80 ATV boleh digunakan pengunjung.

3. Rinching ATV Adventure Park Semenyih, Selangor

Terletak 10 kilometer dari pekan Semenyih, pusat rekreasi ini masih pilihan terbaik untuk mereka yang mahu merasai aktiviti ATV.

Menawarkan daripada trek mudah iaitu sekitar kolam memancing atau denai mudah, pengalaman pengunjung boleh bertukar ekstrem menerusi trek sekitar 16 hingga 20 kilometer sekitar denai hutan Hulu Langat.

Operasi pusat ini biasanya mampu menampung kumpulan dari dua hingga 10 orang menyusuri pelbagai trek termasuk ladang, jalan hutan dan cabaran paling mendebarkan ialah menuruni tebing sungai curam.

EMPANGAN antara lokasi perhentian menarik.
EMPANGAN antara lokasi perhentian menarik.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 April 2020 @ 6:30 AM