PEMANDANGAN luas dari aras mata burung melihat keindahan Banjaran Titiwangsa.
PEMANDANGAN luas dari aras mata burung melihat keindahan Banjaran Titiwangsa.
Hafiz Ithnin
hafizithnin@mediaprima.com.my


TERBENTANG luas pemandangan tulang belakang Semenanjung Malaysia, Banjaran Titiwangsa sebaik sahaja tiba di Kuak Hill Resort, Kampung Kuak Lata Papan, Lenggong, Perak.

Pada awal tahun ini lokasi berkenaan menjadi tular di media sosial apabila memperkatakan mengenai destinasi baharu untuk melancong di dalam negara terutama membabitkan ekopelancongan .

Sebagai seorang yang gemarkan percutian dalam segmen itu, penulis sendiri tidak dapat menafikan mengenai keunikan resort berkenaan yang terletak di antara dua banjaran iaitu Banjaran Titiwangsa di depannya dan Banjaran Bintang pula di belakangnya.

Boleh dikatakan jika anda juga gemarkan percutian seperti itu dan ingin membawa keluarga ke sana, ia adalah destinasi yang terbaik jika ke Perak terutama jika ke Lenggong.

Menariknya mengenai destinasi itu, ia terletak di atas bukit dan kebanyakan bilik dan khemah berkonsepkan 'glamping' menghadap Banjaran Titiwangsa, tanpa ada sebarang halangan pemandangan lain!

Bagi mereka yang gemarkan aktiviti ke sebuah destinasi yang agak privasi bersama keluarga atau rakan-rakan, mahupun untuk pasangan yang baharu mendirikan rumah tangga dengan mencari harga mampu milik, amat dicadangkan ke destinasi itu.

PEMANDANGAN sejuk waktu pagi sambil menikmati pemandangan hijau di Lenggong.
PEMANDANGAN sejuk waktu pagi sambil menikmati pemandangan hijau di Lenggong.

Paling mencuri perhatian penulis pastinya kolam renang berkonsepkan infiniti yang menghadap Banjaran Titiwangsa.

Air di kolam itu pula bukan daripada air paip tetapi ia adalah air semula jadi yang dipam pemiliknya untuk dinikmati pengunjung sambil merasai sendiri air bukit yang sejuk.

Semestinya, apabila sudah tiba di sesebuah resort tidaklah pula kita ingin duduk di dalam bilik sambil menikmati pemandangan sahaja bukan? Sebenarnya terdapat pelbagai aktiviti di sekitar Kampung Kuak Lata Papan yang boleh anda terokai.

Untuk penulis yang gemarkan aktiviti berlari pada waktu seusai Subuh pastinya ingin mencabar diri untuk berlari dari bawah bukit sehingga ke resort sekitar 2.5 kilometer.

WAKTU malam yang tenang tetapi tetap meriah dengan lampu menerangi persekitaran.
WAKTU malam yang tenang tetapi tetap meriah dengan lampu menerangi persekitaran.

Jadi, untuk golongan gemarkan aktiviti berlari denai khasnya yang ingin berlatih sambil menikmati pemandangan alam semula jadi agak privasi tetapi lengkap, mungkin anda boleh memilih destinasi ini.

Apatah lagi, selesai berkeringat boleh berendam pula di dalam kolam berkenaan untuk menyejukkan badan dan memulihkan otot.

Tidak sekadar itu, pihak resort juga menyediakan perkhidmatan untuk membawa pengunjung mengembara menggunakan kemudahan ATV sekitar 45 minit.

Penulis juga berkesempatan menaiki ATV sambil menikmati pemandangan indah di sekitar kampung berkenaan.

BERSIAR-SIAR menaiki ATV berlatar belakang Banjaran Bintang.
BERSIAR-SIAR menaiki ATV berlatar belakang Banjaran Bintang.

Sepanjang memandu kenderaan lasak itu, penulis mendapati terdapat jalur air sungai yang bersih dan amat sesuai untuk bermandi-manda bersama rakan atau ahli keluarga.

Jika anda seorang yang gemarkan aktiviti hanya duduk di resort bersama keluarga atau rakan juga tidak akan merasa bosan kerana boleh melakukan aktiviti seperti barbeku, berkunjung ke zoo mini dengan pelbagai spesies burung termasuk merak dan arnab selain berjalan di sekitar resort.

Berbicara mengenai makanan pula, selera tempatan turut disediakan di kafe yang turut menghadap Banjaran Titiwangsa.

Apabila tiba waktu makan, pada hemat penulis ia amat menenangkan terutama menikmati pemandangan matahari terbit pada waktu pagi.

ANTARA jeram yang terdapat di Kampung Kuak Lata Papan.
ANTARA jeram yang terdapat di Kampung Kuak Lata Papan.

Sekiranya masa sudah sesuai untuk anda melancong ke dalam negara, bolehlah mengunjungi ke Lenggong yang sebenarnya terdapat pelbagai lagi aktiviti menarik yang boleh anda nikmati.

Selain dapat menenangkan jiwa, membantu pelancongan domestik terutama destinasi luar bandar juga dapat memulihkan ekonomi negara!

BERSIAR-SIAR di sekitar resort antara aktiviti yang boleh dilakukan bagi mengeluarkan peluh.
BERSIAR-SIAR di sekitar resort antara aktiviti yang boleh dilakukan bagi mengeluarkan peluh.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 January 2021 @ 6:05 AM