PERCUTIAN seisi keluarga di resort popular beri banyak kenangan manis.
PERCUTIAN seisi keluarga di resort popular beri banyak kenangan manis.
Nurul Husna Mahmud


Peminat sejarah pastinya arif dengan perkembangan aktiviti perlombongan bijih timah yang begitu aktif sekitar 1930-an hingga 1970-an apabila hasil bumi itu mendapat permintaan tinggi.

Sebenarnya sejarah industri itu jauh lebih awal berdasarkan beberapa catatan. Seorang pedagang Inggeris pada 1827 mencatatkan Sungai Lepar, Kuantan, Pahang sebagai salah satu lokasi yang akan menjadi tumpuan bagi aktiviti perlombongan hasil bumi itu.

Mengenai Sungai Lepar atau kini dikenali sebagai Gambang menjadi tarikan dan salah satu produk Pahang apabila menempatkan taman tema dan resort popular selain memiliki kedudukan cukup strategik bagi pelancong dari pantai timur serta Kuala Lumpur.

Tidak hairan lokasi itu menjadi pilihan Areena Kamarudin, 26, dan suaminya, Izzat Muzamer sebagai destinasi percutian baru-baru ini.

Kata Areena, bukan hanya keluarga kecilnya, malah kunjungan ke Gambang itu turut disertai adik-beradiknya yang kebetulan merancang percutian bersama keluarga masing-masing.

Kata ibu kepada cahaya mata berusia sembilan bulan, Izz Adyan ini, dia dan suami memilih Mangala Resort dan Spa sebagai lokasi untuk bersantai bersama keluarga.

"Sebenarnya kami sudah lama merancang untuk ke Gambang, tetapi terpaksa ditangguhkan beberapa kali akibat Covid-19.

AREENA dan suami tidak melepaskan peluang mencuba aktiviti basikal air.
AREENA dan suami tidak melepaskan peluang mencuba aktiviti basikal air.

"Tetapi, keinginan untuk bercuti 'membuak-buak' menyebabkan saya berbincang dengan suami supaya mencari destinasi yang sesuai dengan situasi dan keadaan keluarga.

"Maklumlah bayi kami tidak sampai setahun lagi usianya. Risiko tinggi dan saya turut disertai ahli keluarga lain, jadi memang kena pastikan aspek keselamatan terutama langkah pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 oleh operator atau pemilik resort.

"Selepas meninjau kami memilih untuk menghabiskan masa di Mangala Resort dan Spa sepanjang tiga hari dua malam di Gambang," katanya.

Tambah Areena lagi, perjalanan untuk ke lokasi terbabit cukup lancar dan santai apabila melalui Lebuhraya Pantai Timur dan kemudian ke susur keluar Gambang.

KAYAK antara aktiviti disertai sepanjang berada di lokasi percutian berkenaan.
KAYAK antara aktiviti disertai sepanjang berada di lokasi percutian berkenaan.

"Perjalanan Alhamdulillah lancar dan tidak begitu padat. Mungkin kerana bukan musim cuti persekolahan menyebabkan perjalanan hanya mengambil masa kira-kira lebih dua jam untuk sampai.

"Memang 'feeling' apabila sudah lama tidak bercuti dan melalui perjalanan merentas negeri kerana dalam tempoh dua tahun banyak masa berkurung apatah lagi ketika dalam tempoh berpantang.

"Sebaik melepasi laluan susur keluar Gambang umpamanya, perjalanan banyak menyusuri laluan sawit, hutan dan kampung memberikan rasa tenang dan damai sesuai dengan 'mood' percutian di resort terbabit," katanya.

Menceritakan suasana di resort itu, kata Areena, lokasi percutian itu terletak di kawasan yang sedikit terasing dan privasi kerana dikelilingi tasik luas selain hutan dan ladang sawit berhampiran.

"Tarikan atau ciri-ciri menonjol mengenai konsep percutian di sini adalah privasi dan ala mewah. Selain landskap, bilik penginapan turut ditampilkan dalam konsep vila lengkap dengan kolam peribadi menbuatkan ia cukup istimewa.

MERAPATKAN hubungan keluarga dengan percutian ke Gambang.
MERAPATKAN hubungan keluarga dengan percutian ke Gambang.

"Anda yang gemarkan suasana percutian seperti di Bali, destinasi ini mampu memberikan 'mood' yang sama. Baik dari segi landskap mahupun kemudahan spa," katanya.

Kata Areena, antara aktiviti yang sempat disertai bersama ahli keluarga lain selain bergambar adalah aktiviti air di tasik di kawasan terbabit.

"Memang percutian selama tiga hari dua malam ini kami manfaatkan dengan pelbagai pengisian menjadikan ia kenangan manis.

"Contohnya kolam renang dalam bilik dan uniknya, lokasi ini menggunakan air masin berbanding air klorin. Memang sesuai untuk bayi dan kanak-kanak selain suhu juga tidak terlalu sejuk.

AKTIVITI air dilakukan Areena bersama keluarga.
AKTIVITI air dilakukan Areena bersama keluarga.

"Memang seronok terutama bayi saya baru ada kesempatan berjalan-jalan selain berinteraksi dengan persekitaran. Saya juga tidak perlu bimbang berkongsi dengan orang lain kerana kolam itu dihadkan untuk penghuni villa sahaja," katanya.

Aktivit lain turut disertai termasuk berkayak, memanah dan basikal air.

"Kalau hendak lawat sekitar resort dengan berjalan memang penat. Jadi, saya dan ahli keluarga ada juga menyewa basikal dan berkayak untuk rasai suasana berbeza.

"Tidak kurang menarik juga pengalaman mengayuh basikal air dengan suami serta anak. Memang dapat lihat sisi berbeza apabila meninjau persekitaran dengan mengelilingi tasik," katanya.

Saranan Areena, untuk pastikan percutian lebih selesa terutama bagi yang mempunyai anak kecil, persiapkan keperluan kerana kedudukan resort berkenaan sedikit terpencil.

AKTIVITI memanah turut boleh dilakukan.
AKTIVITI memanah turut boleh dilakukan.

"Memang ada servis penghantaran ke bilik terutama makanan, tetapi kalau untuk alas perut disarankan beli awal-awal. Macam kali ini saya bersama suami turut disertai ahli keluarga lain jadi tidak ralat sangat.

"Sebaiknya bawa bekalan kerana selepas lakukan semua aktiviti kita mudah untuk rasa penat dan lapar. Leceh kalau perlu keluar semata-mata untuk beli barang atau kudap-kudapan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mac 2022 @ 6:30 AM