SELESA penginapan di Carpe Diem.
SELESA penginapan di Carpe Diem.
Nurul Husna Mahmud

PERCUTIAN semula jadi antara diperlukan kebanyakan warga tempatan selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tamat kelak.

Kunjungan ke kawasan hijau lagi semula jadi boleh memberi ketenangan dan relaks selepas mengharungi tempoh PKPB.

Namun begitu, dalam keterujaan merencana jadual percutian atau perjalanan diidamkan selepas PKPB, sebaiknya elakkan daripada melakukan perjalanan jauh.

Justeru warga Selangor mahupun Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Serendah antara lokasi ideal sebagai destinasi permulaan untuk membiasakan diri dengan pengalaman percutian.

Selain memiliki 'port' air terjun jernih, dusun serta belukar sesuai untuk aktiviti riadah ringan membolehkan pengunjung dari ibu kota memandu mahupun merancang perjalanan singkat ke daerah ini.

Kalau dari Kuala Lumpur, perjalanan hanya sejauh kira-kira 20 hingga 30 kilometer dengan tempoh tidak melebihi dua jam pemanduan.

Di sini penulis kongsikan tiga penginapan cukup menarik boleh dicuba pengunjung mahukan destinasi rehat yang tidak jauh dari ibu kota.

PEMANDANGAN hijau bagi penginap di Sekeping Serendah.
PEMANDANGAN hijau bagi penginap di Sekeping Serendah.

REKAAN mesra alam.
REKAAN mesra alam.

Sekeping Serendah

Pengalaman bermalam dalam hutan seolah-olah dipayungi kanopi itu yang boleh digambarkan mereka yang tinggal di resort berkenaan. Kedudukannya terletak dalam hutan hujan tropika seluas lima ekar menjadikan ia resort percutian terpencil di dalam rimba.

Aktiviti boleh dilakukan pengunjung termasuk berenang kerana destinasi itu dilengkapi dua kolam renang, merentas hutan dan sesi barbeku. Menyantuni masyarakat Orang Asli di perkampungan terletak kita-kira lima minit dengan mendapat kebenaran terlebih dahulu, antara pengalaman yang perlu dicuba.

GAYA hidup kampung di Carpe Diem.
GAYA hidup kampung di Carpe Diem.

KOLAM renang untuk aktiviti keluarga
KOLAM renang untuk aktiviti keluarga

Carpe Diem Serendah

Nostalgia menjadi budak kampung dan itulah 'momen' ingin diberikan operator Carpe Diem kepada pengunjung apabila bukan sahaja resort dikelilingi dusun buah seperti di kampung, malah permainan seperti congkak dan memberi makanan kepada haiwan ternakan antara aktiviti boleh dilakukan pengunjung.

Lebih unik tujuh jenis penginapan sebahagiannya menggunakan nama buah-buahan tempatan seperti rambutan, durian dan pulasan menyuntik kemeriahan seperti kehidupan suasana kampung.

Bukan rumah kampung biasa, malah ia turut memiliki kemudahan kolam renang untuk beriadah bersama anak-anak dan pada waktu senggang boleh diisi juga dengan aktiviti memancing di kolam berhampiran. Untuk sampai pengunjung dari Kuala Lumpur perlu memandu selama 45 minit.

Tasik Kebun Serendah, Selangor

Tasik Kebun Serendah sering ditempah sebagai tempat percutian keluarga atau 'reunion' sekolah kerana kedudukannya tidak jauh dengan Kuala Lumpur. Lebih menarik ia turut memiliki kawasan hijau dan lokasi rekreasi air.

Kemudahan lain iaitu sambungan Internet Wi-Fi bermakna meskipun mahu berada dalam kediaman semula jadi anda masih boleh menggunakan talian Internet. Kemudahan lain ialah kolam renang luar dan restoran.

Kalau berenang dengan air terjun, lokasi terhampir ialah empat kilometer iaitu di Air Terjun Serendah untuk mandi air terjun segar dan berkelah. Selain kemudahan jamuan barbeku disediakan dengan tempahan khas.

SELESA ruang inap di Tasik Kebun.
SELESA ruang inap di Tasik Kebun.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mei 2020 @ 6:30 AM