CABARAN yang perlu dihadapi pendaki.
CABARAN yang perlu dihadapi pendaki.
Muhamaad Razis Ismail
razis@mediaprima.com.my


SUSULAN kelonggaran yang diberikan untuk menjalankan aktiviti rekreasi, pada April lalu penulis mengambil kesempatan ke Denai Tiga Puteri.

Terletak di Hutan Simpan Komuniti Kota Damansara, Selangor, lokasi ini menjadi tumpuan warga kota untuk menjalankan aktiviti mendaki.

Apa tidaknya, jarak yang tidak terlalu jauh menyebabkan ia dipenuhi orang ramai terutama pada hujung minggu.

Pada masa sama, lokasi rekreasi ini amat sesuai untuk semua peringkat lapisan masyarakat untuk beriadah secara santai.

Sebenarnya sudah lama penulis mendengar mengenai lokasi ini, namun baru kali ini berkesempatan selepas diajak dua rakan.

Penulis bertolak dari rumah sekitar 7.30 pagi dan berharap dapat tiba awal untuk mengelakkan kesesakan.

Bagaimanapun, sebaik tiba di kawasan terbabit kira-kira 45 minit kemudian, penulis dapati kereta sudah memenuhi di kiri dan kanan jalan.

PEMANDANGAN di puncak Denai Tiga Puteri.
PEMANDANGAN di puncak Denai Tiga Puteri.

Sebelum mula mendaki, pengunjung perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan termasuk membuat pendaftaran dan mengimbas suhu badan di Pejabat Pengurusan Taman Eko Rimba Kota Damansara. Bagaimanapun, tiada sebarang bayaran dikenakan.

Kemudian, penulis bersama dua rakan mula mendaki melalui laluan yang disediakan.

Untuk pendakian kali ini, penulis tidak mahu terlalu tergesa-gesa ke puncak kerana mahu berjalan secara santai sambil menikmati keindahan alam semula jadi.

Sepanjang perjalanan, selain bertemu pendaki, penulis terserempak beberapa penunggang basikal yang turut menggunakan laluan ini.

Pendakian untuk 45 minit pertama agak santai, namun perlu menempuhi beberapa laluan naik dan turun.

Selepas memanaskan badan, pendaki perlu menempuh laluan sedikit mencabar apabila perlu melalui laluan berkecerunan kira-kira 60 darjah selama 20 minit.

Laluan menjadi sedikit sesak apabila tiba di laluan mencanak sekitar 80 darjah kerana pendaki menggunakan tali yang disediakan. Selain itu, pendaki perlu berhati-hati kerana permukaan tanah sedikit licin.

TURUT menjadi tumpuan peminat basikal.
TURUT menjadi tumpuan peminat basikal.

Selepas itu, pendaki hanya perlu berjalan kira-kira 50 meter sebelum sampai ke puncak Denai Tiga Puteri yang menyajikan pemandangan Lebuhraya Lembah Klang Baru (NKVE) dan Kota Damansara.

Ketika tiba, kawasan itu sudah dipenuhi orang ramai yang memulakan pendakian lebih awal. Kawasan ini agak luas dan mampu memuatkan ramai pendaki pada satu-satu masa.

Selepas berehat selama 30 minit, penulis dan rakan mula bergerak turun untuk memberi ruang kepada pendaki yang tiba.

Secara keseluruhan, aktiviti mendaki Denai Tiga Puteri antara aktiviti rekreasi santai sesuai untuk lapisan masyarakat yang ingin menikmati keindahan alam semula jadi.

Namun, anda perlu memakai pakaian dan kasut yang sesuai untuk mendaki serta membawa bekalan air mencukupi selain mematuhi SOP!

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Ogos 2021 @ 6:40 AM