Hafiz Ithnin

Nama Tanjung Malim sebagai projek perintis Youth City atau Bandar Belia yang pertama di Malaysia sememangnya tepat kerana ia bukan saja terdapatnya pelbagai institusi pengajian tinggi tetapi mampu menyediakan ekosistem lain yang membolehkan ramai golongan muda melakukan aktiviti rekreasi.

Memandangkan ketika ini aktiviti rekreasi khasnya mendaki gunung sentiasa menjadi tumpuan belia, tidak silap untuk menjadikan daerah di Perak itu sebagai destinasi golongan berkenaan kerana antara gunung yang popular di sana sudah tentu Gunung Liang setinggi 1,934 meter.

Gunung Liang mempunyai dua puncak yang dikenali sebagai Liang Timur dan Barat serta jarak antara kedua-duanya tidak begitu jauh kira-kira lima minit pendakian saja.

Bagi memulakan pendakian ke puncak gunung berkenaan, Empangan Sungai Dara adalah lokasi permulaannya dan di sini saja pendaki dapat menjamu mata melihat keindahan air sungainya yang bersih.

 LALUAN berakar antara cabaran ketika pendakian.
LALUAN berakar antara cabaran ketika pendakian.

Sebenarnya untuk mendaki gunung itu, terdapat beberapa jadual perjalanan santai yang boleh diubah suai pendaki iaitu sama ada mahu mendaki selama dua hari satu malam atau tiga hari dua malam. Bagi kaki pelari denai, mungkin hanya mengambil masa sehari untuk sampai ke puncak.

Penulis berkesempatan menyertai ekspedisi mendaki Gunung Liang anjuran Majlis Daerah Tanjung Malim (MDTM) yang diketuai Yang Dipertua MDTM Mohd SyukriAzaari.

Kami memilih jadual dua hari satu malam kerana permulaan pendakian pada hari pertama dimulakan agak lewat iaitu kira-kira jam 2 petang.

Dari Empangan Sungai Dara, kumpulan pendaki seramai sekitar 40 orang perlu menuju ke Kem Lubuk Antu yang mengambil masa kira-kira tiga jam perjalanan santai dan laluannya juga tidak begitu sukar.

MERENTAS sungai dari Lubuk Antu menuju ke Kem 7E.
MERENTAS sungai dari Lubuk Antu menuju ke Kem 7E.

Kem Lubuk Antu mempunyai tarikan tersendiri kerana luas dan begitu hampir dengan sungai yang memudahkan pendaki untuk membersihkan diri serta memasak makanan. Air sungainya juga bersih, mungkin jarang digunakan orang ramai untuk beriadah.

Pada hari kedua, kumpulan pendaki perlu memulakan pendakian seawal jam 8 pagi dan hari itu dijadualkan semua peserta menuju ke puncak yang mengambil masa kira-kira lapan jam.

Sebelum menuju ke puncak, kumpulan pendaki diminta meletakkan barang yang tidak diperlukan untuk ke puncak di Kem 7E yang mengambil masa dari Kem Lubuk Antu sekitar lima jam.

Pendakian ke Kem 7E boleh dikatakan agak mencabar kerana laluannya sentiasa mencanak dan hanya sedikit saja kawasan yang sering kali disebut ‘diskaun’ iaitu kawasan rata ketika mendaki. Itupun ketika melalui kawasan permatang.

KEINDAHAN flora yang terdapat di sepanjang laluan ke puncak Gunung Liang.
KEINDAHAN flora yang terdapat di sepanjang laluan ke puncak Gunung Liang.

Sepanjang laluan pendakian dari Kem 7E ke puncak sememangnya menjanjikan pemandangan hutan tropika yang sebenar kerana di sini terdapatnya lumut yang tumbuh meliar.

Tambahan pula, semakin hampir dengan puncak keadaan semakin sejuk dirasai kerana ketika itu suhu dikatakan mencecah kira-kira 16 darjah Celsius dan berkabus tebal. Sebaik saja tiba di puncak Liang Timur kelihatan sebuah beirut yang menandakan itulah puncaknya.

Menariknya, dalam aktiviti pendakian itu turut disertai pelbagai pihak termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT), operator dan penggiat pendaki gunung belia dari Deltar Outdoors Malaysia (DOM), wakil polis dan bomba, penduduk kampung serta beberapa agensi keselamatan yang lain.

KEGEMBIRAAN kumpulan pendaki di puncak gunung.
KEGEMBIRAAN kumpulan pendaki di puncak gunung.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Mac 2018 @ 10:40 AM