PENGUNJUNG gembira dapat menjinakkan kelah di Lubuk Kejor. FOTO Aswadi Alias
PENGUNJUNG gembira dapat menjinakkan kelah di Lubuk Kejor. FOTO Aswadi Alias
Hafiz Ithnin


RASA geli tidak dapat dibendung sebaik sahaja memasukkan kaki ke dalam Lubuk Kejor, Tasik Kenyir, Terengganu. Air jernih bertukar gelap dan suara riang pengunjung mula menjadi irama utama memecah sunyi di dalam hutan.

Terasa sungguh berbaloi selepas berjalan 45 minit dari hentian bot di Sungai Petang menuju ke Lubuk Kejor. Rasa penat berjalan sehingga ke lubuk itu berbaloi apabila melihat aksi rakan-rakan bersama penghuni lubuk berkenaan di dalam sungai.

Lubuk Kejor menjadi pilihan pengunjung yang mahu meninjau destinasi pemuliharaan ikan kelah liar di Malaysia kerana kawasan itu antara yang paling popular.

JAMBATAN kayu yang dibuat untuk merentasi anak sungai memudahkan pergerakan pengunjung. FOTO Aswadi Alias
JAMBATAN kayu yang dibuat untuk merentasi anak sungai memudahkan pergerakan pengunjung. FOTO Aswadi Alias

Dikenali sebagai Santuari Kelah, Lubuk Kejor dilihat mempunyai ekosistem pelancongan eko yang baik kerana terdapat pelbagai kemudahan.

Sebelum tiba di kawasan yang menjadi tumpuan ikan kelah, pengunjung akan melalui kawasan pejalan kaki dirimbunan pokok hutan yang turut mempunyai papan maklumat mengenai tumbuhan liar di situ.

Bukan sekadar itu, sekitar 15 minit berjalan dari Sungai Petang, penulis perlu merentasi jambatan gantung yang jelas di bawahnya kelihatan ikan kelah liar berkumpul di anak sungai, seakan-akan memberi bayangan lokasi dituju sudah hampir.

Sebaik sahaja merentasi jambatan gantung itu, kelihatan juga pelbagai kemudahan dibangunkan pihak yang menguruskan santuari berkenaan, Lembaga Pembangunan Terengganu Tengah (Ketengah) seperti tandas, tempat persalinan pakaian dan gerai menjual makanan ringan dan minuman kepada pengunjung.

Di gerai itu juga, orang ramai boleh membeli pelet makanan ikan pada harga RM2 sebungkus bagi menarik kehadiran kelah supaya lebih mudah mendekati pengunjung yang berminat untuk bermain dengan ikan berkenaan.

KEMUDAHAN  tempat berehat untuk pengunjung selepas jambatan gantung. FOTO Aswadi Alias
KEMUDAHAN tempat berehat untuk pengunjung selepas jambatan gantung. FOTO Aswadi Alias

Pemandu Pelancong, Mohd Khairul Abu Bakar berkata, Santuari Kelah itu adalah kawasan terhad yang dibuka kepada pelancong. Hanya 200 orang dibenarkan mengunjungi kawasan itu sehari. Malah, 50 pengunjung sahaja dibenarkan dalam satu-satu masa selama 30 minit setiap sesi.

Beliau berkata, langkah Ketengah mengehadkan kedatangan pelancong ke Lubuk Kejor bagi memastikan ekosistem ikan kelah liar tidak terganggu dan paling utama kawasan sekitarnya tidak tercemar.

“Sebelum pelancong dibawa masuk ke dalam Lubok Kejor, mereka akan diberikan penerangan berkenaan santuari ini di Pos Kawalan Santuari Kelah. Di sini, pihak berkuasa yang bertugas memberikan pelbagai maklumat mengenai ikan liar bernilai tinggi itu.

“Terdapat beberapa jenis ikan kelah di Lubok Kejor iaitu merah, hijau dan hitam. Harga bagi jenis ikan kelah tertentu mampu mencecah RM1,000 sekilogram kerana jumlahnya yang semakin berkurangan dan sukar didapati,” katanya.

Berbalik kepada pengalaman penulis, sebaik tiba di Lubuk Kejor, kami terus membawa pelet ke gigi air untuk memberi ikan makan. Betul kata pegawai yang memberi penerangan di pos kawalan sebentar tadi, di sini, ‘selak ikan baru nampak air.’

Ertinya ikan kelah liar yang menghuni Lubuk Kejor begitu banyak dan kelihatan permukaan air sungai bagaikan permaidani ikan kerana hidupan air itu terlalu jinak.

Ikan kelah juga bukan spesies yang mempunyai gigi tajam. Jadi tidak perlu risau mengenai gigitannya kerana ia hanya menyedut sahaja apa yang melintas di depannya terutama pelet makanan yang menjadi buruan.

Mereka yang berkunjung ke Lubuk Kejor dikenakan bayaran RM25 untuk warga tempatan dewasa dan RM18 untuk kanak-kanak. Pelancong asing dikenakan bayaran RM45 untuk dewasa dan kanak-kanak RM25 seorang.

PENGUNJUNG perlu berjalan kira-kira 45 minit dari pintu masuk untuk ke Lubuk Kejor. FOTO Aswadi Alias
PENGUNJUNG perlu berjalan kira-kira 45 minit dari pintu masuk untuk ke Lubuk Kejor. FOTO Aswadi Alias

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Jun 2019 @ 12:46 PM