MEREDAH sungai menjadi perkara biasa untuk mendapatkan lubuk memancing terbaik.
MEREDAH sungai menjadi perkara biasa untuk mendapatkan lubuk memancing terbaik.
Hafiz Ithnin

KALAU sudah namanya kaki pancing, pasti ada saja lubuk yang ingin diterokai. Kesanggupan menaiki bot berjam-jam lamanya sudah menjadi perkara biasa demi mendapatkan kepuasan memburu ikan liar yang diinginkan.

Begitu juga dengan Muhammad Zulfadli Tajul Ariffin bersama 14 rakan menerokai lubuk memancing ikan air tawar di Taman Negara, Kuala Tahan, Pahang baru-baru ini, mengidamkan untuk membawa pulang sang kelah.

Muhammad Zulfahdli berkata, setiap tahun ada saja perancangan bersama rakan untuk memancing ikan air tawar di kawasan huluan sungai kerana di situ antara lubuknya.

ZULFADHLI bersama hasil tangkapan memancing di Lubuk Batu.
ZULFADHLI bersama hasil tangkapan memancing di Lubuk Batu.

Katanya, bagi aktiviti memancing kali ini, Lubuk Batu atau Petir menjadi destinasi yang disasarkan kerana ia terkenal sebagai lokasi tumpuan ikan air tawar liar. Bagaimanapun, untuk ke sana bukanlah mudah.

“Dari Kuala Lumpur ke Taman Negara kami memandu sekitar dua jam. Kami bertolak tengah malam kerana bercadang menaiki bot ke kawasan lubuk pada sebelah pagi.

“Seperti dijanjikan, operator yang menguruskan perjalanan kami sudah siap sedia pada jam 8 pagi untuk menyusuri Sungai Tembeling sebelum meneruskan perjalanan memasuki laluan Sungai Keniam,” katanya.

Jelasnya, sebelum memulakan perjalanan menggunakan bot, mereka perlu mendaftar dengan pihak berkuasa di Taman Negara dan mengikuti prosedur pemeriksaan barang.

SUNGAI TEMBELING menjadi permulaan laluan sebelum ke Sungai Keniam.
SUNGAI TEMBELING menjadi permulaan laluan sebelum ke Sungai Keniam.

Katanya, menggunakan khidmat operator yang menguruskan aktiviti memancing lebih memudahkan pergerakan kerana mereka akan bertanggungjawab untuk menyediakan segala keperluan pelanggan selama berada di Taman Negara.

“Sebaik bot bergerak, kami menyusuri Sungai Tembeling sekitar satu jam. Di sini kami dapat saksikan banyak bot nelayan memasang pukat untuk menaikkan ikan air tawar. Sememangnya menarik dan membuai perasaan ketika menyusuri sungai berkenaan.

“Bagaimanapun, perjalanan yang tenang bertukar mencabar apabila memasuki Sungai Keniam. Di sini, kami perlu menolak bot bersama pemandu kerana keadaan air yang cetek di beberapa kawasan laluan sungai menyebabkan bot tersekat,” katanya.

PEMANCING  berjaya menaikkan pelbagai jenis ikan air tawar di Lubuk Batu.
PEMANCING berjaya menaikkan pelbagai jenis ikan air tawar di Lubuk Batu.

Muhammad Zulfadhli berkata, perjalanan mengambil masa hingga lima jam di Sungai Keniam menuju ke tapak perkhemahan, Lata Said yang menjadi tempat mereka bermalam selama tiga malam.

“Lata Said menjadi tempat kami berkhemah dan menempatkan segala peralatan memancing serta keperluan diri kerana di sini adalah kem induk sebelum masing-masing mencari lubuk memancing yang diinginkan.

“Pastinya, Lubuk Batu menjadi pilihan kebanyakan kami. Bagaimanapun, untuk ke sana kami perlu melalui jalan denai yang mengambil masa sekitar satu jam perjalanan dan bagi saya sendiri, setiap hari berulang-alik dari Lata Said ke Lubuk Batu,” katanya.

Katanya, Lubuk Batu adalah kolam yang di kelilingi batu dan airnya berwarna agak gelap. Lubuk itu juga amat popular dalam kalangan kaki pancing sebagai lubuk kelah.

“Bagaimanapun, selepas kami menggunakan umpan sawit bagi memancing kelah, tidak ada antara kami yang berjaya ‘menaikkan’ spesies itu. Kami mengagak lubuk itu dihuni ikan sebarau.

“Jadi kami menukar umpan dan menggunakan anak ikan bagi menjinakkan sebarau. Nampaknya, tekaan kami tepat dan rezeki kami untuk menikmati sajian ikan sebarau sepuas-puasnya,” katanya.

KAWASAN Lubuk Batu yang menjadi lubuk ikan air tawar.
KAWASAN Lubuk Batu yang menjadi lubuk ikan air tawar.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 April 2019 @ 11:16 AM