FILEM animasi Strange World  dikatakan menyelitkan kehidupan remaja gay.
FILEM animasi Strange World dikatakan menyelitkan kehidupan remaja gay.
Wan Asrudi Wan Hasan


ISU Lesbian Gay Biseksual Transgender (LGBT) di negara ini bukan perkara baharu. Malah, sentiasa menjadi kebimbangan ramai.

Sekali pun di luar negara isu ini sudah menjadi kebiasaan sehingga mempunyai keistimewaan tersendiri di sesetengah negara barat.

Berbeza dengan masyarakat di Malaysia kerana kita berpegang kuat pada agama dan adat resam yang harus dipatuhi oleh semua kaum di sini dalam mengekalkan keharmonian serta keamanan negara.

Di negara barat khususnya role model mereka seperti golongan selebriti tidak dinafikan banyak berdepan isu kekeliruan gender ini.

Baru-baru ini timbul satu lagi kebimbangan di kalangan ibu bapa dan penjaga mengenai pengaruh LGBT yang cuba disampaikan menerusi kartun dan animasi.

Beberapa filem animasi khususnya dari luar negara nampaknya semakin berani mengetengahkan elemen tidak bermoral dalam karya mereka.

Sebagai contoh menerusi filem animasi Strange World yang didakwa menyelitkan kehidupan remaja gay.

Strange World diedarkan Walt Disney Animation Studios sekitar hujung tahun lalu. Kisahnya berkisar kepada pengembaraan dunia fantasi Avalonia yang dikelilingi oleh kawasan pergunungan.

Strange World mencetuskan kontroversi apabila menampilkan unsur gay dalam filem itu selepas salah satu watak utamanya, Ethan, yang jatuh cinta dengan lelaki lain.

Ethan meluahkan mengenai perasaannya kepada bapanya dengan harapan mendapatkan nasihat tetapi sebaliknya si bapa seolah-olah menggalakkan tindakan anak lelakinya itu yang sepatutnya ditegah kerana ia membabitkan masalah kekeliruan gender.

Sebenarnya mesej yang disampaikan dalam filem ini mengenai hubungan kekeluargaan bapa dengan anak sudah cukup kuat apatah lagi tampil dengan grafik yang menarik.

Filem ini mendapat tentangan di beberapa negara sehingga menjejaskan hasil kutipan tayangannya.

Tidak cukup dengan itu, animasi filem popular seperti Lightyear yang sepatutnya ditayangkan di beberapa negara turut disekat kerana didakwa mencetus pengaruh LGBT.

Filem animasi sains fiksyen yang diarahkan oleh Angus MacLane dilaporkan gagal menembusi pasaran beberapa negara apabila adegan ciuman antara dua wanita dipotong dalam filem berkenaan.

Bukan hanya di Malaysia malah beberapa negara jiran seperti Indonesia, India dan United Arab Emirates (UAE) turut memboikot filem ini.

Secara tidak langsung ia menjejaskan sasaran produksi terbabit untuk meraih kutipan box office di beberapa negara.

Dalam kepesatan pembangunan ekonomi, kita perlu sedar bukan hanya produksi Disney sebaliknya beberapa produksi penerbit lain turut sengaja membangkitkan isu bertentangan dengan akidah dan akhlak ini. Malah secara terang-terang ditolak oleh negara Islam.

Beberapa karya seni yang menampilkan penulis gay seperti Emily Dickinson bukan hal mengejutkan. Warner Bros yang cukup dikenali dengan karya Harry Potter turut mengikut kegilaan JK Rowling, menghasilkan Fantastic Beast dan menampilkan tokoh LGBT (Dumbledore dan Grindelwald) dalam filem.

Begitu juga beberapa platform Over-The-Top (OTT) yang sudah lama bermaharajalela dengan menyelitkan karya yang mendorong kepada isu ini.

Namun begitu kita percaya individu penting dalam penghasilan karya membabitkan kanak-kanak ini akan mengambil langkah sepatutnya selain mempunyai pertimbangan wajar untuk menghormati nilai murni masyarakat.

Pihak Lembaga Penapisan Filem (LPM) termasuk agensi berkaitan juga harus lebih peka dalam situasi ini agar ia tidak mendatangkan pengaruh negatif kepada anak-anak.

Jika perkara ini dibiarkan berleluasa kelak akan mempengaruhi pembangunan sosial dan sahsiah diri golongan remaja di masa akan datang.

Penulis Penolong Pengarang Hiburan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Julai 2023 @ 5:59 AM