TATSUN bersama Bacher melihat hasil kerja pakar animasi itu.
TATSUN bersama Bacher melihat hasil kerja pakar animasi itu.

Kartun, sebahagian aspek penting dalam kehidupan dan perkembangan mental serta emosi kanak-kanak.

Hampir setiap hari kanak-kanak duduk di hadapan televisyen untuk menonton kartun malah menerusi tontonan ini, ada kanak-kanak mampu bertutur bahasa lain dengan baik tanpa pembelajaran secara formal.

Ia bukan saja mampu menghiburkan, tetapi melaluinya kanak-kanak boleh belajar mengenai sebutan yang tepat, bertutur dengan baik, bersosial, contoh teladan serta pengetahuan umum dalam kehidupan seharian.

Sesuai dengan perkembangan zaman, filem animasi bukan saja menarik perhatian kanak-kanak, tetapi juga jalan cerita serta paparan animasi lebih berkualiti, menjadi pilihan keluarga untuk menghabiskan masa bersama.

Menyediakan aktiviti kekeluargaan yang bermanfaat, legenda dalam seni animasi, Hans Bacher, baru-baru ini mempamerkan antara hasil karya terbaiknya menerusi Pameran Seni Animasi ‘Dream Worlds’ oleh Hans Backer bermula 19 September hingga 3 Oktober lalu di The One Gallery, The One Academy.

Turut hadir pada majlis pembukaan ialah pengasas dan Pengetua The One Academy, Tatsun Hoi.

Antara hasil kerja Bacher yang mempunyai pengalaman selama 40 tahun dalam industri filem animasi termasuk Beauty and the Beast, Little Match Girl, The Lion King, Who Framed Roger Rabbit, Aladdin serta Mulan.

Pameran itu juga diilhamkan daripada pelancaran buku nukilan Bacher, ‘Dream Worlds: Production Design for Animation’, yang boleh dianggap antara buku teks terbaik berkaitan subjek animasi.

Diadakan sempena ulang tahun ke-40 kerjaya Bacher, pameran itu memaparkan pengalaman luas dirinya dalam industri termasuk kerjasama dengan mereka yang ternama seperti pengarah animasi, Richard Williams dan pengasas bersama DreamWorks Studios, Steven Spielberg.

Pada acara itu, Bacher sendiri membawa tetamu termasuk golongan kanak-kanak untuk berkongsi cerita mengenai setiap hasil kerja­nya, terutama membabitkan animasi yang dilukis sendiri dengan tangan, sebelum wujudnya teknologi cang­gih seperti imej jelmaan komputer (CGI) atau komputer grafik .

Antara hasil kerja Bacher yang mengagumkan ialah animasi Mulan yang membabitkan kerja 800 pelukis dan lima tahun untuk disiapkan.

Bacher ialah ahli Akademi Seni Filem Animasi dan Sains serta pernah dianugerahkan Anugerah Golden Camera dan Anugerah Annie untuk rekaan produksi yang menakjubkan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Oktober 2015 @ 10:52 AM