TANGKAP layar di FB Rahmad mengenai aplikasi Telegram pada telefon pintarnya digodam.
TANGKAP layar di FB Rahmad mengenai aplikasi Telegram pada telefon pintarnya digodam.
Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Molek, Datuk Rahmad Mariman kesal dan tidak menyangka aplikasi Telegram telefon pintarnya digodam pihak tertentu bagi meminjam wang daripada kenalannya.

Bagaimanapun, beliau bertindak pantas dengan memuat naik status di Facebooknya bagi memaklumkan perkara itu dan meminta kenalannya berhati-hati, sekali gus mengelak mereka menjadi mangsa.

"Itu bukan saya. Mana-mana sahabat yang dapat mesej menerusi Telegram dari saya malam ini nak pinjam duit, ketahuilah itu adalah bukan saya.

"Saya nafikan. Jangan sampai terkena," katanya menerusi catatan di Facebooknya, semalam.

Rahmad turut memadam akaun Telegramnya, semalam apabila mengetahui ia digodam bagi tujuan menipu, namun kesal apabila mendapati ia masih aktif mencari mangsa dan meminta mereka memindahkan wang menggunakan nombor dan akaun bank berbeza.

"Dari 2 pagi tadi (semalam) hingga sekarang 7.30 pagi dia masih aktif cari mangsa walaupun saya dah padam akaun Telegram pada 3 pagi tadi.

"Nombor dan nama akaun bank pun dah tukar lain pula," menurut catatan itu.

Pemerhatian di ruangan komen mendapati catatan itu mendapat lebih 120 komen dan dikongsikan sebanyak 43 kali oleh kenalan Facebook beliau yang turut memaklumkan pihak terbabit masih aktif sehingga tengah malam.

Rata-rata kenalan beliau menyatakan mereka terkejut menerima mesej di Telegram bahawa Rahmad mahu meminjam wang antara RM1,500 hingga RM3,000 atas alasan akaun banknya disekat dan keluarga ditimpa kemalangan jalan raya dan turut berkongsi tangkap layar mesej berkenaan.

Dalam pada itu, Rahmad yang juga Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur, dan Pengurusan Banjir negeri ketika dihubungi berkata, beliau bimbang ada antara 5,794 nombor kenalan dalam telefon bimbitnya menjadi mangsa, namun mereka hanya berdiam diri.

"Saya bimbang kes ini menjejaskan reputasi dan kredibiliti saya selaku Adun yang terpaksa meminjam wang merata.

"Pegawai Khas saya, Syamsul Izani Ab Manaf membuat laporan di Balai Polis Tiang Dua pada 1 tengah hari semalam berhubung dengan perkara ini berikutan saya masih menjalani kuarantin selepas baru pulang dari misi pelaburan Kerajaan Negeri Melaka di Dubai, Emiriah Arab Bersatu.

"Kertas siasatan dibuka Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah," katanya kepada Harian Metro.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Melaka, Superintendan E Sundra Rajan mengesahkan menerima laporan dan akan mengeluarkan kenyataan rasmi esok.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Mac 2022 @ 4:30 PM