TIDAK ramai tahu TikTok mengambil peratusan tertentu daripada jumlah hadiah digital diberi pengguna kepada setiap hos melakukan TikTok Live. FOTO AFP
TIDAK ramai tahu TikTok mengambil peratusan tertentu daripada jumlah hadiah digital diberi pengguna kepada setiap hos melakukan TikTok Live. FOTO AFP
Syah Rul Aswari Abdullah

Amat mudah untuk 'buat duit' di TikTok. Anda hanya perlu mempunyai 1,000 pengikut di Tiktok dan tekan butang live untuk buat penstriman langsung. Mana-mana orang melihat siaran boleh memberi hadiah digital kepada anda. Hadiah dalam banyak bentuk membawa nilai tertentu. Ia bermula daripada bunga mawar membawa nilai beberapa sen sehingga singa yang nilai hadiahnya boleh mencecah sehingga AS$400 (kira-kira RM1,800).

Jadi tidak menghairankan apabila semakin ramai mahu melakukan penstriman langsung di platform ini. Mereka ini bukanlah selebriti, jauh sekali berstatus pempengaruh, tetapi hanya orang biasa menjadikan TikTok sebagai cara memperoleh pendapatan sampingan.

Trend ini juga dimanfaatkan oleh keluarga Syria di banyak kem pelarian di negara itu. Ia untuk meminta derma daripada masyarakat dunia. Kebanyakan daripada mereka kehilangan tempat tinggal kerana perang saudara yang masih tidak berkesudahan. Jadi, mereka yang tiada sumber pendapatan - tidak mempunyai banyak pilihan - dan menggunakan platform ini untuk merayu sumbangan.

BBC News menerusi laporan khasnya, TikTok profits from livestreams of families begging (TikTok meraih keuntungan daripada penstriman langsung keluarga yang mengemis) merungkai trend kian popular ini. Namun di sebalik aktiviti ini, ia mencadangkan ada pihak lain meraih keuntungan.

Dalam lima bulan, wartawan BBC mengikuti lebih 100 akaun di TikTok membabitkan keluarga pelarian Syria. Krunya juga melawat kem pelarian di Idlib di barat laut Syria untuk melakukan siasatan lanjut trend ini.

Penemuan BBC mendapati ada 'orang tengah' menyediakan telefon bimbit dan peralatan lain untuk keluarga Syria ini melakukan penstriman langsung di TikTok. 'Orang tengah' ini mendakwa mereka bekerja dengan agensi bersekutu dengan TikTok di China dan Timur Tengah yang memberi keluarga ini akses akaun TikTok. Agensi ini sebahagian daripada strategi global TikTok untuk merekrut livestreamer dan menggalakkan lebih ramai pengguna untuk melayari platform berkenaan.

Memandangkan algoritma TikTok akan mencadangkan video berdasarkan nombor telefon pengguna, 'orang tengah' ini lebih suka menggunakan kad SIM dari United Kingdom (UK). Menurut mereka, penduduk UK lebih bermurah hati untuk memberi hadiah digital kepada pemilik akaun yang melakukan penstriman langsung untuk kandungan video sebegini.

Seorang 'orang tengah' ini memberitahu BBC dia menjual haiwan ternakan untuk membeli telefon bimbit, kad SIM dan akses internet untuk bekerja dengan keluarga terbabit di TikTok. Dia kini melakukan penstriman langsung dengan 12 keluarga pelarian Syria selama beberapa jam setiap hari. Menurut lelaki itu, dia membayar sebahagian besar perolehan hasil daripada sumbangan hadiah digital itu kepada keluarga berkenaan selepas menolak kos operasi.

Namun apa yang tidak sedapnya, tidak ramai tahu TikTok mengambil peratusan tertentu daripada jumlah hadiah digital diberi pengguna kepada setiap hos melakukan TikTok Live itu. Ada yang mendakwa TikTok mengambil 'komisen' antara 50 hingga 60 peratus untuk setiap jumlah hadiah. Namun BBC menerusi siasatannya mendakwa peratusan ini boleh mencecah sehingga hampir 70 peratus.

Jumlah yang tinggal ini pula ditolak dengan kos operasi 'orang tengah'. Jadi, jika mana-mana keluarga menerima hadiah digital bernilai hampir RM1,000, sebahagian daripadanya - seperti didakwa BBC- akan diterima TikTok. Bakinya ditolak kos operasi 'orang tengah' dan akhirnya hanya jumlah kecil akan diterima oleh kepada keluarga pelarian Syria ini.

TikTok menerusi maklum balas dalam laporan sama berkata, ia akan mengambil tindakan segera terhadap 'pengemis yang mengeksploitasi' platform itu. Ia juga menambah, jenis kandungan berkaitan pengumpulan derma atau dana tidak dibenarkan di platformnya dan menegaskan komisen diambil daripada hadiah digital kurang daripada 70 peratus.

Sekali imbas, meminta derma di platform media sosial adalah perkara yang biasa zaman ini. Ia antara jalan paling mudah untuk membantu pihak memerlukan. Kaedah ini lebih personal berbanding menggunakan selebriti untuk meraih tumpuan dunia kepada isu mendesak seperti penderitaan masyarakat di negara bergolak seperti di Syria.

'Komisen' juga bukan perkara baharu dalam dunia pengumpulan dana. Ia amalan sah mengikut undang-undang, yang sudah lama dipraktikkan secara meluas di negara Barat. Ada banyak syarikat yang teras perniagaannya mengumpul dana untuk mana-mana organisasi. Ini kerana ada banyak aspek lain perlu diambil kira dalam bidang ini termasuk kos pengurusan, logistik dan percukaian.

Sama juga halnya jika anda buat sumbangan dalam talian kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sama ada tempatan atau antarabangsa. Tidak ramai menyedari ada peratusan tertentu ditolak kepada kos operasi NGO berkenaan. Ia termasuk pengurusan seperti membayar gaji pekerja sehingga urusan pembelian dan penghantaran barangan keperluan berkenaan kepada penerima.

Hakikatnya, semua benda memerlukan wang. Namun dalam aspek kini (jika sumbangan terus dibuat kepada NGO), kos operasi mungkin hanya meliputi kos pengurusan organisasi berkenaan. Sebahagian besar daripada jumlah itu, mungkin akan disalurkan terus kepada penerima.

Derma adalah perkara yang amat peribadi. Jadi, terpulang kepada si penderma memutuskan cara terbaik membantu golongan memerlukan seperti pelarian Syria ini.

Penulis Penolong Pengarang Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Oktober 2022 @ 7:01 AM