TikTok Awards Malaysia 2023 catat 5.31 bilion capaian kata kunci digital.
TikTok Awards Malaysia 2023 catat 5.31 bilion capaian kata kunci digital.
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: TikTok Awards Malaysia 2023 yang berlangsung 27 Ogos lalu di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa (MITEC), di sini, berjaya mencatat lebih 5.31 bilion capaian kata kunci digital.

Menurut sumber Nielsen, Meltwater, penstriman langsung di akaun rasmi TV3 di TikTok pula ditonton lebih 948,000. Manakala 4.1 juta tontonan di TV3 serta 1.1 juta tontonan ketika bersiaran langsung di TikTok.

Pada malam itu, sebanyak 14 kategori dipertandingkan bagi meraikan industri penciptaan kandungan kreatif serta pempengaruh tempatan.

Seperti diramalkan, Khairul Aming diumum pemenang kategori Creator of the Year. Pemilik nama sebenar Khairul Amin Kamarulzaman, 31, itu berkata, walaupun ramai menjangkakan kemenangannya, ia masih lagi sesuatu yang tidak dijangka.

Malah, ucapannya sewaktu menerima trofi itu menjadi tular selama beberapa hari dan berjaya mencetus inspirasi kepada ramai rakyat negara ini.

Khairul Aming membawa pulang hadiah trofi dan telefon pintar tajaan Siri Honor 90 5G. Pemenang kategori lain juga membawa pulang hadiah trofi.

Dia menewaskan pencabar lain seperti Boss James yang mengendalikan akaun TikTok @bossjames_eo; Lawyer Gandhi (@lawyerghandi); Auntie Purple (@auntiepurple248); Ceddy (@ceddyornot) dan Sally (@sallywhoo).

Selain Creator of the Year, 12 kategori lain ialah Best Of Foodie yang dimenangi Syifa Jamil; Best Of Sport (Khalish); Best Of Gaming (Sultan Riq); Best Of Education (Sir Asai); Best Of Beauty & Fashion (Shahira Azlan); Best Of Entertainment (Eiqa Maleq); TikTok Shop Of The Year (Anas Zahrin); Popular Animation Account Of The Year (Upin & Ipin); Live Creator Of The Year (Tiger Labu); Popular Creator Of The Year (Ryan Bakery); Rising Star Of The Year (Ikhmal) dan Celebrity Of The Year (Aeril Zafrel).

TikTok Awards Malaysia 2023 turut dimeriahkan dengan beberapa nama besar antaranya Datuk Yusof Haslam, Bell Ngasri, Amber Chia, Farah Ann Abdul Hadi dan ramai lagi yang akan menyampaikan trofi.

Penonton juga disajikan dengan persembahan Datuk Seri Siti Nurhaliza, Shiha Zikir, Zeppo, Dolla, Marsha Milan, Ernie Zakri, Alyph dan ramai lagi.

Ia dihoskan Izzue Islam, Sherry Alhadad dan Amelia Henderson.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 September 2023 @ 8:31 PM