SETIAP manusia pasti akan diuji untuk mengesahkan bahawa dia sebenar-benarnya orang yang beriman. FOTO Arkib NSTP
SETIAP manusia pasti akan diuji untuk mengesahkan bahawa dia sebenar-benarnya orang yang beriman. FOTO Arkib NSTP
Dr Nor Hazrul Mohd Salleh

Menghadapi ujian ataupun cabaran dalam kehidupan adalah lumrah. Setiap manusia pasti akan diuji untuk mengesahkan bahawa dia sebenar-benarnya orang yang beriman. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?" (Surah al-Ankabut, ayat 2)

Kehidupan manusia dalam dunia moden pada hari ini pastinya terdedah kepada kepelbagaian ujian hidup yang dihadapi sama ada sebagai individu ataupun keluarga apatah lagi bermasyarakat. Kehidupan individu biasanya akan menempuh pelbagai ujian terutama untuk meningkatkan prestasi diri kepada kecemerlangan. Pencapaian biasanya dinilai daripada kelayakan dan keputusan peperiksaan atau ujian yang dihadapi. Sebagai contoh, pelajar di sekolah akan dikira cemerlang bila mencapai keputusan tertinggi. Begitu juga pelajar di pusat pengajian tinggi. Untuk mencapai kejayaan cemerlang pastinya menjanjikan ujian dan cabaran lebih hebat. Oleh itu, setiap individu pasti akan berusaha meningkatkan prestasi diri sebaik mungkin.

Manakala di peringkat keluarga, antara keutamaan ialah membentuk keluarga bahagia dan harmoni. Pembentukan keluarga bermula daripada pembinaan individu yang baik. Setiap keluarga terdiri daripada individu yang akan bertanggungjawab kepada keluarga tersebut. Bermula dengan bapa sebagai ketua keluarga, di samping ibu yang menjadi tonggak kepada keluarga dan anak-anak yang menyempurnakan kebahagiaan hidup berkeluarga.

Seorang bapa pastinya akan berusaha untuk membentuk keluarga serba sempurna dari segi pendidikan dan kewangan. Bapa biasanya menjadi asas kepada pembinaan keluarga yang kukuh sebagai syarat untuk kehidupan yang bahagia dan berkekalan. Manakala ibu biasanya menjadi orang kedua terpenting dalam keluarga sama ada ibu juga akan bersama untuk membina keluarga dari segi keutuhan kewangan dan penyediaan pendidikan yang terbaik kepada anak-anak ataupun seorang ibu juga biasanya menjadi suri rumah.

Menjadi satu kelaziman dalam masyarakat, ibu bapa saling bersama dalam membina keluarga bahagia; bersama membina keupayaan ekonomi keluarga dan mendidik anak-anak. Dalam mengharungi kehidupan berkeluarga, ibu bapa pastinya banyak berkorban demi keutuhan institusi keluarga. Maka, tanggungan yang dihadapi ibu bapa bukan kecil dan mudah. Cabaran dan ujian tentunya pelbagai dan memerlukan kebijaksanaan menanganinya.

Dalam konteks kehidupan bermasyarakat, setiap individu juga akan menghadapi cabaran dan ujian yang hampir sama. Cabaran yang dihadapi secara individu dan juga berkeluarga akan dihadapi dalam kehidupan bermasyarakat dalam komuniti yang lebih besar. Sebagaimana yang kita maklum, setiap orang menggalas tanggungjawab masing-masing dalam kehidupan sama ada tanggungjawab individu, keluarga dan masyarakat. Tanggungjawab ini akan disoal oleh Allah SWT. Maka, perkara paling utama adalah untuk memastikan setiap tanggungjawab dan kewajipan dilaksanakan dengan amanah.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya) dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat." (Surah al-Nisa', ayat 58)

Suasana dalam negara pada masa ini masih dalam keadaan yang tidak stabil terutamanya dalam menangani situasi pandemik dan cabaran pemulihan ekonomi. Untuk menghadapi situasi ini, memerlukan semua rakyat bersatu hati bagi menjamin segala perancangan sama ada secara individu, keluarga dan negara dapat dilaksanakan dengan lancar. Pembentukan organisasi bagi menghadapi cabaran ini sangat diperlukan. Setiap pihak harus memikirkan dan merancang untuk menyebarkan sebanyak mungkin kebaikan. Sekarang bukan masa menuding jari mencari kesilapan, kelemahan atau kekurangan pihak lain.

Allah SWT menganjurkan manusia melakukan sebanyak mungkin kebaikan. Bahkan, kita digalakkan berlumba-lumba mengerjakan kebaikan. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan bagi tiap-tiap umat ada arah (kiblat) yang masing-masing menujunya; oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan; kerana di mana sahaja kamu berada maka Allah tetap akan membawa kamu semua (berhimpun pada hari kiamat untuk menerima balasan); sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu." (Surah al-Baqarah, ayat 148)

Dapat kita fahami daripada ayat ini, Allah SWT memerintahkan kita berusaha bersungguh- sungguh dan berlumba-lumba dalam menyebarkan kebaikan kepada semua. Pada masa sama kita faham bahawa perkara sebaliknya akan menyebabkan kelemahan kepada institusi kita. Jika kebaikan tidak disebarkan malah keburukan dan kelemahan lebih diperbesarkan, maka keadaan ini tidak akan membawa apa-apa kebaikan. Akibatnya, keruntuhan dan kehancuran.

Ketika rakyat sedang menghadapi cabaran besar sebagaimana yang kita maklumi, seharusnyalah kita bersama sehati sejiwa untuk terus menyebarkan kebaikan. Antaranya ialah dengan tampil membantu, menyumbang tenaga dan terus meniupkan semangat kepada sesama kita sama ada dalam bentuk kewangan, tenaga ataupun sekurang-kurangnya tampil dengan sokongan moral yang berterusan kepada semua pihak yang sedang berdepan dengan ujian dan cabaran besar. Setiap orang menghadapi cabaran berbeza dan sudah pasti implikasinya juga berbeza. Apapun, dengan kebaikan dan sokongan orang lain akan meringankan beban pihak yang terkesan.

Kesimpulannya, kebaikan perlu disebarkan dalam apa jua pendekatan. Kita yakin dengan tersebar luasnya kebaikan, akan memberikan keyakinan kepada semua bahawa kita masih berada dalam kebaikan anugerah Allah SWT kepada kita. Kebaikan yang dikongsi bersama ini akan mengukuhkan perpaduan dan kebersamaan sebagai Keluarga Malaysia yang berjaya.

Penulis Ketua Unit Bahasa Arab, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Pusat Pendidikan UM, Bachok, Kelantan

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 January 2022 @ 7:00 AM