KEHADIRAN golongan yang memiilki ramai pengikut di media sosial dan terlalu inginkan perhatian sanggup melakukan apa saja tanpa mengambi kira kesan kepada masyarakat selain mengabaikan soal perundangan. FOTO PA
KEHADIRAN golongan yang memiilki ramai pengikut di media sosial dan terlalu inginkan perhatian sanggup melakukan apa saja tanpa mengambi kira kesan kepada masyarakat selain mengabaikan soal perundangan. FOTO PA
Georgie Joseph

Umum mengetahui kuasa pemasaran menerusi media sosial kini adalah nombor satu. Justeru, setiap entiti memanfaatkannya untuk meraih capaian setinggi boleh terhadap setiap kandungan dihasilkan.

Bagaimanapun, dek terlalu rakus untuk berlumba-lumba meraih capaian itu jugalah membuatkan ada sampai jadi buta hati. Sampaikan ada sanggup ketepi rasa perikemanusiaan demi mengejar perhatian.

Paling menyedihkan, ada yang mencipta atau menghasilkan kandungan tanpa berfikir panjang. Demi keseronokan dan fokus tarik perhatian, mereka langsung tidak peduli mengenai sensitiviti.

Mungkin dalam fikiran, perhatian, tanda suka, atau capaian itu jauh lebih penting buat mereka. Dan ikutkan, memang benar pun itu hakikatnya jika menyentuh mengenai keberkesanan sesuatu kandungan.

Tapi sebaik mereka ketepikan isu sensitiviti, sekali gus niat asal pastinya terpesong. Disebabkan mahu menjadi yang pertama dan terpantas, kandungan itu dimuat naik ke internet tanpa memikirkan natijahnya.

Semestinya cukup merisaukan apabila kelak kesan yang ditinggalkan adalah buruk. Baik menyinggung pihak tertentu, memudaratkan maruah seseorang, mahupun membahayakan diri orang lain.

Ya betul, kadangkala kita terlepas pandang apalagi jika tiada pasukan profesional memantau idea keseluruhan sesuatu kandungan terutama buat pempengaruh bergerak secara kendiri yang semakin muncul melata sekarang.

Namun, mana perginya naluri kemanusiaan serta budi pekerti yang diajar orang tua selama ini? Adakah rasa itu lesap sekelip mata hanya dek terlalu seronok hasilkan kandungan ikut nafsu diri?

Misalnya kes seorang pempengaruh yang mengambil kesempatan sewaktu Allahyarham Siti Sarah meninggal dunia baru-baru ini. Pada hari sama juga, berita sedih itu dijadikan topik untuk kandungan videonya di YouTube.

Dalam pada rata-rata bersedih dengan kehilangan penyanyi berbakat besar itu, pempengaruh terbabit tanpa sebarang rasa bersalah bertindak menghasilkan video melawat luar kawasan pusara arwah.

Siapa yang tidak berang dengan kelakuannya seperti itu?

Lebih membuatkan orang 'panas hati', video diambil itu tidak mendapat kebenaran daripada pihak keluarga arwah.

Terdesak sangatkah hendak jadikan berita sedih itu sebagai kandungan?

Namun itulah realitinya sekarang dengan kemunculan pencipta kandungan mahupun pempengaruh kurang berakal.

Agaknya takrifan kreatif bagi mereka termasuk menceroboh sensitiviti orang lain?

Secara teknikal, memanglah sangat penting untuk menjadi pencipta kandungan yang memiliki pasukan khas dan profesional.

Pasukan ini jugalah bertanggungjawab dalam menilai, menimbang dan memastikan kandungan dihasilkan bebas mudarat.

Hakikatnya, itulah protokol yang diaplikasikan sedari dulu dalam setiap bidang sebelum platform media sosial berkuasa.

Prosesnya pun perlu lebih kurang sama untuk digunakan pencipta kandungan era terkini.

Janganlah kerana tahu masyarakat atau netizen sememangnya pemaaf, mereka jadi buta hati untuk melanggar etika. Mungkin memang tidak sengaja, tapi beringatlah dan berakal panjang sebelum kongsi kandungan tertentu kepada umum.

Betul, bukan semua kandungan pasti akan memuaskan hati ramai. Sempurna dan berkualiti mana pun kandungan itu, tetap juga ada segelintir yang tidak berkenan dan berpuas hati dengannya. Itu lumrah.

Bagaimanapun, janganlah menangguk di air keruh terutama isu-isu sensitif misalnya kematian dan sindir badan. Kelak nanti, yang terkesan dan dibahayakan adalah orang lain baik ada kaitan mahupun tiada.

Sebaliknya, belajar dan terus memperbaiki corak kandungan dengan meneliti setiap aspek dari hati. Ini bermaksud, mereka perlu meletakkan diri dalam situasi cerita kandungan itu sendiri untuk lebih faham dan rasainya.

Sehebat mana pun nilai kreativitinya, tidak ke mana pun kandungan itu jika memudaratkan seseorang, hati, serta sensitiviti masyarakat. Lebih baik padamkan saja niat untuk hasilkan sesuatu kandungan jika keraguan hati mengenai kesannya tidak temui jawapan.

Penulis Wartawan Hiburan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 September 2021 @ 7:00 AM