Pengguna menggunakan aplikasi Lazada. FOTO Aziah Azmee
Pengguna menggunakan aplikasi Lazada. FOTO Aziah Azmee
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Lazada melancarkan peraduan LazTalent 'One Stream to Fame' bagi mencari bintang baharu untuk program di LazLive.

Uji bakat kedua peraduan itu akan dibuka sehingga 24 Januari ini dan mereka yang berminat boleh menghantar rakaman video percubaan selama seminit sama ada memperkenalkan diri atau menjual produk yang dibuat secara kreatif.

Ketua Pegawai Pemasaran Lazada Malaysia, Diana Boo berkata, dengan peningkatan penggunaan e-dagang di negara ini, 'shoppertainment' merevolusikan cara pengguna berbelanja dalam talian dengan pengaruh pencipta kandungan.

"Pencipta kandungan memainkan peranan penting dalam mendorong transformasi runcit, kejayaan e-dagang dan membantu mendorong ekosistem ini ke hadapan.

"Dalam tempoh mencabar sepanjang PKP 2.0, kami yakin inisiatif ini akan membantu rakyat Malaysia yang mencari sumber pendapatan alternatif kerana program ini disesuaikan untuk memperkasakan mereka dengan pengetahuan dan kemahiran praktikal," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, melalui program ini peserta dapat mengetahui lebih banyak mengenai pelbagai aspek strim langsung termasuk daripada pempengaruh.

Secara tidak langsung rancangan ini memanfaatkan peluang kerjasama dengan Lazada termasuk ekosistem jenama dan penjualnya.

Diana berkata, sebagai pulangan, peserta akan diberi penghargaan kerana membuat kandungan asli yang membantu melonjakkan jualan jenama mereka serta mendapat pelanggan baru.

Sebanyak 12 peserta akan disenarai pendek untuk menerima latihan bersama pasukan LazLive dan mentor pempengaruh sebelum meneruskan tiga pusingan pertandingan.

Setiap pusingan terdiri daripada pelbagai cabaran strim langsung di mana mereka akan diberi skor berdasarkan kemahiran menjual, pengacaraan dan persembahan serta pengetahuan produk dan jumlah tontonan.

Pemenang akan diumumkan pada 5 Mac dengan pemenang utama akan membawa pulang wang tunai sebanyak RM5,000, sementara naib juara pertama dan kedua masing-masing akan membawa pulang RM3,000 dan RM2,000.

Ketiga-tiga pemenang juga akan mendapat kontrak setahun dengan Lazada Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 January 2021 @ 6:46 PM