Kekasih pendorong Aya Amiruddin.
Kekasih pendorong Aya Amiruddin.
Zaara Talita


Kuala Lumpur : Pempengaruh media sosial, Aya Amiruddin memaklumkan teman lelakinya, Sleem adalah individu yang mendorongnya untuk bergerak aktif sebagai 'content creator' atau pencipta kandungan.

Aya berkata, kekasihnya itu memberi keyakinan kepadanya untuk mengorak langkah menjadikan dirinya dikenali di TikTok.

"Dia sebenarnya antara orang yang mendorong dan meyakinkan saya untuk menjadi seperti hari ini. Dia antara orang di belakang yang menjadikan Aya Amiruddin.

"Malah, dia juga yang percaya saya mempunyai bakat untuk diketengahkan. Katanya, saya seorang yang kelakar dan boleh menghasilkan 'content' untuk menghiburkan orang," katanya.

Menurut Aya, walaupun jadualnya kini terlalu padat dengan penggambaran, dia tetap cuba membuat kandungan bagi mengubati kerinduan peminatnya.

Walaupun namanya mula dikenali, Aya tetap mengakui dia tidak mahu digelar lupa diri sebaliknya dia akan meluangkan masa dengan orang di sekelilingnya sebaik mungkin.

"Saya tahu saya mula dari 'content creator'. Jadi, saya cuba juga buat beberapa kandungan dan video dalam seminggu. Sebab tak boleh lupa dari mana kita bermula.

"Alhamdulillah sebab saya pun jenis macam kalau ada masa, saya akan cuba luangkan masa dengan keluarga dan kawan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Julai 2023 @ 4:07 PM