KRISIS di antara Arab Saudi dan Iran bertambah sengit apabila berlaku Revolusi Iran pada 1979.
KRISIS di antara Arab Saudi dan Iran bertambah sengit apabila berlaku Revolusi Iran pada 1979.
Nadir Al Nuri

Joe Biden menghubungi Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu sebulan selepas naik sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS). Ia langkah yang menimbulkan banyak tanda tanya kerana menggambarkan bahawa hubungan Amerika dengan rakan karibnya di Timur Tengah renggang dibandingkan dengan layanan anak kesayangan di zaman Trump. Walaupun tindakan itu cuba dipandang ringan oleh Netanyahu, penganalisis politik berpendapat ia adalah kenyataan jelas kepada Israel untuk tidak lupa bahawa zaman Trump sudah berlalu dan hubungan rapat mereka dengan Parti Republikan serta tingkah laku mereka terhadap Obama tidak semudah itu akan dilupakan.

Biden akan mewujudkan hubungan dengan Israel secara rasmi melalui garis panduan dan nasihat pakar hubungan luar di sekelilingnya dan meninggalkan cara Trump yang bertindak mengikut sesuka hati. Pada masa sama, Biden memberikan isyarat kepada Israel bahawa pada zamannya, Israel tidak akan mendapat tempat utama di dalam senarai kepentingan luar Amerika Syarikat di waktu timbulnya isu lebih besar seperti hubungan dengan Rusia, China, Korea Utara dan paling utama, Iran.

Polisi Biden terhadap Iran jelas sejak mula memasuki Rumah Putih dengan janji mengembalikan perjanjian nuklear Iran yang diperkenalkan Obama ke meja rundingan. Malah, minggu lalu, Biden menyatakan hasratnya untuk duduk bersama negara terlibat dalam perjanjian untuk mengusulkannya semula selepas dibatalkan Trump, menyatakan bantahan terhadap sekatan yang dikenakan ke atas Iran dan melonggarkan sekatan pergerakan ke atas wakil diplomat Iran di Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB).

Di pihaknya, Iran menolak bekerjasama memandangkan sekatan ke atasnya masih tidak diangkat sepenuhnya. Iran juga mengingatkan Amerika bahawa mereka tidak meninggalkan syarat perjanjian secara total kerana masih membenarkan wakil antarabangsa memantau pusat nuklear mereka, sedangkan pendek akal Trump menjadikan Amerika pihak bersalah yang menarik diri dan melanggar perjanjian.

Israel dan -negara Teluk pastinya antara yang paling takut dengan risiko wujudnya senjata nuklear di tangan Iran, malah Israel sudah beberapa kali mengancam akan menyerang Iran jika perjanjian itu diteruskan. Pada waktu Iran mendapat perhatian dunia ketika ini, menarik untuk kita membelek sejarah konflik Iran di rantau khususnya permulaan konflik Iran dengan Arab Saudi sehinggakan pertembungan di antara keduanya dijaja oleh kawan dan lawan sebagai isu Sunni menentang Syiah.

Mengikut penulis Dilip Hiro di dalam bukunya Cold War In The Islamic World; Saudi Arabia, Iran and The Struggle For Supremacy, pertembungan moden di antara kedua-dua negara paling besar di Timur Tengah ini berlaku seawal penemuan petroleum di Iran pada 1908, kemudian penemuannya di Arab Saudi pada 1938. Kegagalan Arab Saudi mengurus sumber minyaknya dan penyerahan hak minyak kepada Aramco adalah tunjang hubungan penting Amerika Syarikat dan Arab Saudi ketika ini sehingga ia diambil alih pada 1980 dengan nama Saudi Aramco.

Dalam tempoh beberapa dekad ini, berlaku pertembungan untuk menjadi kuasa terbesar di Timur Tengah dengan petroleum sebagai bahan dagangan. Contohnya, apabila Arab Saudi mengadakan embargo minyak kepada Amerika Syarikat dan negara lain yang menyalurkan bantuan kepada Israel dalam perang Arab-Israel 1973, Iran mendapat untung berkali ganda kerana menjadi pengganti kepada sumber minyak Arab Saudi.

Begitu juga apabila Iran cuba mengambil-alih syarikat minyak tunggalnya daripada tangan British di bawah kepemimpinan Perdana Menteri nasionalis Muhammad Mussadiq, Barat beralih kepada minyak Arab Saudi dan menyebabkan hasil keuntungan minyak naik berlipat-kali ganda.

Krisis di antara kedua-duanya bertambah sengit apabila berlaku Revolusi Iran pada 1979 dan Shah Iran yang dilihat terlalu mengikut telunjuk Amerika Syarikat digulingkan. Hari ini kita melihat bagaimana kedua-dua negara mempamerkan kekuatan masing-masing dengan menggunakan proksi sama ada di Lubnan, Syria, Yaman, Pakistan sehinggalah mutakhir konflik negara-negara Teluk di mana tindakan memboikot Qatar menjadikan negara kecil itu semakin dekat dengan Iran dan Turki - kedua-duanya musuh ketat Arab Saudi.

Adakah perbalahan ini akan berakhir? Lebih penting, adakah perbalahan ini disebabkan sentimen Sunni melawan Syiah atau untuk mengejar ketuanan di Timur Tengah dan rantau berkenaan? Siapakah yang mendapat untung di sebalik pertempuran dua kuasa besar Islam ini? Teliti dan baca sejarah, kalian akan menemui jawapannya.


Penulis adalah rakyat Malaysia tunggal menetap di Palestin. Beliau boleh dihubungi melalui WhatsApp +60135132140 untuk pertanyaan dan kerjasama. Salurkan sumbangan ke Tabung Kecemasan Covid-19 melalui akaun Persatuan Cinta Gaza Malaysia Maybank 564810507826

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Februari 2021 @ 6:00 AM