TRUMP  berusaha menimbulkan sakit kepala untuk Biden dalam dasar luarnya.
TRUMP berusaha menimbulkan sakit kepala untuk Biden dalam dasar luarnya.
Nadir Al-Nuri

DI dalam sistem politik Amerika Syarikat (AS) apabila presiden baharu, dalam kes ini Joe Biden sudah dipilih menggantikan presiden yang sedang berkuasa iaitu Donald Trump dan ia dipanggil tempoh pemerintahan lame duck.

Pemerintahan lame duck bermaksud pemerintahan
di hari-hari akhir dan ketidakmampuan melakukan apa-apa keputusan yang drastik dan radikal sebelum pemerintahan diserahkan kepada tampuk baharu.

Halangan kepada Trump membuat keputusan drastik tidak bermakna dia tidak mampu berbuat apa-apa kerana perlembagaan AS juga menyebut one president at a time sebagai ikatan yang menghalang pertembungan kuasa bermaksud Trump masih mampu untuk menggugat kestabilan dunia.

Mungkin tindakan yang paling menakutkan dan berbahaya ialah keinginan Trump untuk menyerang pusat nuklear Iran selepas AS di zamannya menarik diri daripada perjanjian nuklear era Obama dan meletakkan sekatan ekonomi paling ketat ke atas Iran, tetapi masih gagal menundukkannya.

Sehingga kini, keinginan Trump berbuat demikian masih disekat penasihat yang terdekat. Jadi apakah yang Trump boleh lakukan?

Pertamanya Trump boleh terus memecat barisan kepemimpinan tertinggi AS yang tidak sehaluan dengannya. Trump sudah pun memecat Ketua Pentagon Mark Esper dan disebut sudah meletakkan Pengarah FBI Christopher Wray dan Pengarah CIA Gina Haspel sebagai sasaran seterusnya.

Komplot tersembunyi atau balas dendam dan hasad dengki? Mereka yang terdekat dengan Trump memaklumkan, ia adalah tindakan balas dendam sebelum berundur.

Trump juga boleh membatalkan pelan rangsangan ekonomi pasca-Covid-19 yang dijanjikannya sebelum pilihan raya. Dia boleh mencipta sekatan baharu ke atas pelarian dan imigran yang masuk ke AS dan membatalkan pengecualian ke atas kanak-kanak seperti yang disebut sebelumnya atas alasan membawa virus Covid-19 bersama mereka.

Kuasa pengampunan juga terletak di tangan Trump dan individu paling besar yang mungkin diberikan pengampunannya ialah – teka siapa? – ya dirinya sendiri, tindakan yang akan menghalang Biden untuk mendakwanya walaupun selepas tamat tempoh.

Trump juga berusaha menimbulkan sakit kepala untuk Biden dalam polisi luarnya apabila mengumumkan akan menarik sebahagian besar tentera AS di Afghanistan dan Iraq.

Trump juga tidak lupa untuk membuat sentuhan akhir di pentas isu Palestin-Israel. Mike Pompeo, Ketua Setiausaha Negaranya mengumumkan bahawa sebahagian besar kumpulan advokasi, aktivis dan kempen menyokong hak Palestin akan diisytiharkan sebagai anti-semitik.

Trump juga dijangka mendesak pengilhakan kawasan baharu di Tebing Barat sebagai 'duri dalam daging' antara Israel dan kerajaan Joe Biden yang jelas menolak usaha pengilhakan lantas menyukarkan apa-apa usaha perdamaian.

Pertemuan 'rahsia' Netanyahu PM Israel, Raja Muhammad Bin Salman Arab Saudi, Mike Pompeo dan Ketua Mossad Yossi Cohen beberapa hari lalu meniup desas-desus bahawa Arab Saudi bakal menyertai Kelab Pengkhianat Normalisasi atau lebih berbahaya merancang sesuatu ke atas Iran supaya kuasa Arab Saudi dan Israel tidak luntur di Timur Tengah.

Israel yang bakal kehilangan rakan karib dan teman sebantalnya dalam tempoh kurang dua bulan lagi perlu membuat pilihan sama ada mahu menari bersama Trump dan berdepan risiko menjalin hubungan tidak baik dengan kerajaan baharu Amerika Syarikat atau menidakkan usaha Trump dan cuba mengikut rentak tarian baharu, dari rentak waltz dan tango yang laju di zaman Trump kepada rentak slow dan lebih berhati-hati di zaman Biden.

Dan Palestin? Palestin pusing macam mana pun tetap di pihak yang rugi dan dizalimi, hanya mampu menari mengikut tangan siapa yang digenggami.

Penulis adalah rakyat Malaysia tunggal menetap di Palestin. Beliau boleh dihubungi melalui WhatsApp +60135132140 untuk pertanyaan dan kerjasama. Salurkan sumbangan ke Tabung Kecemasan Covid-19 melalui akaun Persatuan Cinta Gaza Malaysia Maybank 564810507826

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Disember 2020 @ 5:59 AM