WAH (kiri) memainkan piano sambil diperhatikan Mokhzani pada sesi temu bual eksklusif sempena Ulang Tahun Rukun Negara ke-50, baru-baru ini.
WAH (kiri) memainkan piano sambil diperhatikan Mokhzani pada sesi temu bual eksklusif sempena Ulang Tahun Rukun Negara ke-50, baru-baru ini.
BERNAMA

"EH, lagu Rukun Negara? Tak pernah dengar pun, tak sangka kita ada lagu khas untuk Rukun Negara. Ini pertama kali mendengarnya.

"Yang saya tahu, kita ada pelbagai jenis lagu patriotik, tetapi itu semua lebih fokus menghargai kemerdekaan dan perajurit negara. Kalau khusus lagu Rukun Negara, memang tidak pernah tahu wujud."

Itu respons beberapa rakan penulis ketika diminta pandangan mereka berkaitan dua lagu yang dicipta khusus untuk Rukun Negara yang diperdengarkan ketika pelancaran sambutan Ulang Tahun ke-50 Rukun Negara di Bangunan Perdana Putra, baru-baru ini.

Hakikatnya, kedua-dua lagu itu bukanlah dicipta khusus sempena sambutan Jubli Emas Rukun Negara yang berlangsung tiga bulan bermula Khamis minggu lalu, tetapi ia adalah lagu yang sudah dihasilkan pada 2007 ketika kempen berkaitan dengannya sebelum ini.

Cuma, sejajar peredaran masa, bagi memenuhi rentak genre muzik terkini, lagu berkenaan diberi nafas baharu selain pembabitan penyanyi senior yang mempunyai ramai peminat seperti Syafinaz dan artis baharu bagi menambat hati pendengar.

Sebelum ini, lagu Lima Prinsip Rukun Negara dinyanyikan sendiri oleh penciptanya, Wah bersama anaknya, Natasha Ines Wah Idris manakala lagu ciptaan Mokhzani berjudul Rukun Negara, kekal dengan penyanyi asalnya, Dayang Nurfaizah dan Roy.

Berpeluang bertemu Wah baru-baru ini, beliau yang juga ikon komposer bertaraf antarabangsa kelahiran Ipoh, Perak ini menyuarakan kegembiraan apabila lagu gubahannya itu terpilih untuk diperdengarkan kembali sempena sambutan penuh bermakna selama tiga bulan ini.

"Sayanglah, kita sudah lama ada aset (lagu Rukun Negara), tetapi tidak dimainkan stesen televisyen dan radio kerana dikatakan tidak ada nilai komersial. Bukan saja lagu Rukun Negara, tetapi juga lagu patriotik lain ciptaan komposer tempatan.

"Memang terkilan juga sebenarnya kerana lagu Rukun Negara hanya ada tiga iaitu ciptaan saya, Datuk Mokhzani dan seorang lagi komposer pada zaman 70-an. Tidak banyak berbanding lagu patriotik lain.

"Apabila jarang dimainkan di radio dan TV, mereka yang sebelum ini pernah dengar mungkin lupa manakala yang langsung tak pernah dengar, tidak akan tahu kewujudannya sehinggalah diaktif kembali ketika sambutan Jubli Emas Rukun Negara baru-baru ini," kata Wah.

Antara lagu bercorak kenegaraan gubahannya yang menjadi siulan ramai sehingga hari ini adalah lagu tema sempena Sukan Komanwel 1998 berjudul Standing In The Eyes Of The World yang dinyanyikan oleh ratu rock negara, Ella. Baru-baru ini lagu ini juga menjadi lagu khas untuk sambutan kemerdekaan Amerika Syarikat.

"Memandangkan lagu saya Lima Prinsip Rukun Negara dan lagu Datuk Mokhzani, Rukun Negara, diperdengarkan kembali ketika sambutan Jubli Emas Rukun Negara, diharapkan ia menjadi detik permulaan lagu ini terus diputarkan sepanjang masa.

"Sekarang adalah peranan radio dan televisyen untuk turut sama tampilkan sumbangan mereka dengan memainkan lagu itu dan bukannya hanya bergantung kepada RTM. Kita tidak suruh mainkan banyak kali, cuma mungkin dalam sehari, ada dua, tiga kali ia diputarkan.

"Apabila banyak didedahkan, lagu dianggap tidak sedap didengar awalnya, lama-kelamaan orang akan suka juga. Paling penting, lagu sebegini mampu membangkitkan semangat patriotik kepada negara," kata penerima anugerah Grand Master Brand Icon Leadership Award BrandLaureate 2017 ini.

Benarkah lagu Rukun Negara dan patriotik lain tiada nilai komersial?

Mengulas mengenainya, Mokhzani yang juga pemain piano negara dan pernah melakar nama dalam Malaysia Book of Records pada 2015 sebagai anak Malaysia pertama dilantik duta piano terkemuka jenama Hagspiel buatan Jerman berpusat di China, berkata trend penghasilan lagu bergenre berkenaan sudah jauh berbeza berbanding sebelum ini.

Sambil merujuk lagu Rukun Negara ciptaannya dan lagu Lima Prinsip Rukun Negara hasil gubahan Wah, kedua-dua lagu berkenaan bersifat lebih catchy, pop dan terkini mengikut rentak peredaran masa serta kehendak masyarakat khususnya anak muda.

"Berbanding sebelum ini, sekitar 1950-an, lagu patriotik lebih menjurus kepada konsep marching bagi membangkitkan semangat dalam sanubari. Namun, perkembangan muzik semasa memperlihatkan lagu patriotik termasuk lagu Rukun Negara diolah dan diberi nafas baharu, lebih ke arah pop kontemporari bagi menarik minat masyarakat.

"Contoh lain, lagu Gemilang ciptaan Aubrey Suwito dan lirik Asmin Mudin dendangan Jaclyn Victor. Orang lupa ia sebenarnya lagu patriotik dan mendapat sambutan menggalakkan. Ini menunjukkan lagu kenegaraan turut diminati ramai," katanya.

Ini kerana lagu itu berpotensi tinggi bukan saja membantu masyarakat khususnya generasi muda untuk lebih mengingati lima prinsip Rukun Negara bahkan juga menjiwai makna di sebaliknya.

Seperti diketahui, lima prinsip Rukun Negara - Kepercayaan Kepada Tuhan, Kesetiaan Kepada Raja Dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-Undang serta Kesopanan Dan Kesusilaan yang bermatlamat mencapai perpaduan rakyat lebih erat sudah lama diterjemahkan menerusi muzik.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Julai 2020 @ 6:01 AM