Artis dan komposer antara 12 lagu yang mara ke AJL38. Foto Rohanis Syukri
Artis dan komposer antara 12 lagu yang mara ke AJL38. Foto Rohanis Syukri
Ramlah Zainal

Shah Alam: Lagu nyanyian dan ciptaan penyanyi Aina Abdul berjudul Jangan Mati Rasa antara 12 lagu yang berjaya mara ke pentas berprestij Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-38 yang bakal berlangsung dari Axiata Arena, Bukit Jalil pada 3 Mac tahun depan.

Selain Aina, lagu Astana yang mencetuskan kontroversi, nyanyian Ernie Zakri hasil ciptaan bersama bersama komposer Omar K, Syamel dan Syazriq Azeman turut mara ke pentas AJL38.

Tidak ketinggalan mencuri tumpuan lagu nyanyian dan ciptaan penyanyi dan komposer Hael Husaini berjudul Bintang mara ke final.

Turut ke pentas AJL38 adalah lagu Sutera (Aisha Retno / Aisha Retno dan MFMF / Aisha Retno), Santai (Naqiu/Faizal Tahur), Inilah Jalan (Masdo/ Noh Salleh), Darah (Marsha Milan/ Naim Daniel dan Firdaus Rahmat), Kalam (Shiha Zikir / Iqie Hugh, John Jeeves dan Firdaus Rahmat / Iqie Hugh, John Jeeves dan Firdaus Rahmat), Hasrat (Amir Jahati/Amir Jahari), Kucuma (Wany Hasrita dan Datuk Jamal Abdillah/A Ramlee dan Ezra Kong/A Ramlee dan Ezra Kong), Waktu (Hasif Upin dan Ziana Zain/Iqie Hugh, John Jeeves dan Firdaus Rahmat/Iqie Hugh, John Jeeves dan Firdaus Rahmat) dan Selagi Ku Ada (Khai Bahar & Nabila Razali/ Amylea).

Sementara itu, lagu Santai diangkat sebagai Lagu Terbaik pada hari ketiga Separuh Akhir Muzik Muzik 38 (SFMM) yang berlangsung di Studio 1, Glenmarie, di sini, hari ini.

Kejayaan itu membolehkan Faizal membawa pulang wang tunai sebanyak RM3,000 serta barangan eksklusif tajaan penaja utama Alha Alfa.

Lagu Santai dinyanyikan oleh Naqiu pada SFMM hari ketiga juga memenangi Lagu Pilihan Alha Alfa sekali gus membawa pulang wang tunai RM2,000 dan barangan eksklusif Alha Alfa.

Semua lagu yang bertanding di SFMM38 diadili barisan juri iaitu Datuk Mokhzani Ismail selaku ketua, Datuk Wah Idris, Cat Farish, Helen Yap, Azmeer dan LY, manakala Lagu Pilihan Alha Alfa menerusi undian.

SFMM38 dihoskan oleh Izzue Islam dan Fiza Frizzy malah penonton dihiburkan dengan lagu dendangan Amy Search.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Disember 2023 @ 6:23 PM