Helmy Abd Rahman

ANDAI ditakdirkan satu hari nanti raksasa Godzilla benar-benar wujud di muka bumi, ia mungkin berasal hasil evolusi haiwan ini.

Biawak Komodo (ada yang menyebut naga Komodo) atau nama saintifiknya varanus Komodoensis adalah sejenis biawak terbesar di dunia yang mampu mencapai sehingga tiga meter (m) panjang dan berat hampir 150 kilogram (kg).

Terperangkap dalam pulau beriklim tropika di kepulauan Nusa Tenggara, ruang adalah sesuatu yang berharga, memaksa bermacam haiwan ‘bertoleransi’ untuk hidup ‘bercampur-aduk’ antara satu sama lain.

Namun, jika tidak berwaspada, mudah sahaja diratah ‘sang naga’ ini.

Biawak Komodo adalah dinosaur zaman moden yang berada pada hiraki teratas sebagai pemangsa dalam kawasan habitatnya di Pulau Komodo dan Pulau Rinca, selain boleh ditemui di Pulau Flores dan Gili Motang.

Reptilia ini tidak memilih menunya sama ada rusa, kerbau liar, kambing, babi hutan dan biawak Komodo lain, semua dibahamnya.

Malah manusia juga dilaporkan pernah jadi mangsa.

Ia juga tidak suka ‘membazir’ makanan dan mampu menghabiskan keseluruhan badan mangsa daripada kepala hingga ekor termasuk binatang bertanduk atau 80 peratus daripada berat badannya sendiri.

TAMAN Nasional Komodo di Pulau Komodo.
TAMAN Nasional Komodo di Pulau Komodo.

“Beberapa tahun lalu, seorang pelancong Singapura digigit biawak Komodo ketika ingin mengambil gambar haiwan itu sedang makan.

“Dia tidak mengendahkan amaran penduduk supaya jangan terlalu dekat, biawak Komodo tidak suka diganggu ketika makan.

“Penduduk kampung sempat menariknya dan dia kemudian diberi rawatan rapi dan dihantar pulang ke negaranya, tetapi dengar katanya, dia tidak dapat diselamatkan,” kata Aziz Makasawa yang bertugas sebagai renjer di Taman Nasional Komodo.

Biawak Komodo mempunyai racun amat berbisa, namun tidak seperti reptilia lain, ia merebak dengan cara lebih ‘kejam’ iaitu menerusi luka selepas digigit haiwan ini.

Menurut Aziz, haiwan itu tidak kisah jika mangsa gigitannya dapat melepaskan diri kerana lambat laun mati juga disebabkan racun itu.

BIAWAK Komodo berehat di bawah sebuah premis di Pulau Rinca.
BIAWAK Komodo berehat di bawah sebuah premis di Pulau Rinca.

“Biawak Komodo juga amat pintar dan pantas ketika memburu.

“Contohnya ia sanggup menyorok di kawasan sukar dilihat sehingga berhari-hari, malah membiarkan saja mangsa datang dekat dan memijak kepalanya.

“Tetapi sebaik masanya tiba, dengan sekali gigitan pasti membawa maut. Jika habuannya kambing, ia cuma perlukan sekitar 15 hingga 20 minit untuk dihabiskan.

“Ada kalanya biawak Komodo menghentam bangkai mangsa ke pokok untuk membantu memasukkan ke dalam perut sehingga ada pokok yang tumbang.

“Ia mempunyai metabolisme amat perlahan dan mampu hidup dengan hanya memakan 12 kali sahaja atau sebulan sekali dalam setahun.

“Untuk membiak, biawak Komodo betina menggali lubang sedalam sembilan meter dan bertelur sekitar April dan Mei setiap tahun pada jumlah 30 biji serta dieram selama sembilan bulan.

BIAWAK Komodo nampak ‘berat’ ketika berjalan tetapi mampu mencapai kelajuan menakjubkan dalam masa singkat untuk memburu mangsa.
BIAWAK Komodo nampak ‘berat’ ketika berjalan tetapi mampu mencapai kelajuan menakjubkan dalam masa singkat untuk memburu mangsa.

“Sebaik menetas, anak biawak Komodo akan hidup atas pokok selama beberapa bulan.

“Ini kerana anak reptilia ini sering menjadi mangsa kepada biawak Komodo dewasa iaiti 10 peratus daripada dietnya,” kata Aziz.

Menurutnya, dia tidak setuju pendapat mengatakan biawak Komodo berasal dari Australia sebelum berhijrah ke Kepulauan Nusa Tenggara.

“Jika benar, mana buktinya... mana fosilnya,” kata Aziz.

Di sebalik ‘keganasannya’ biawak Komodo menjadi tarikan pelancong dan pengkaji serta saintis dari seluruh dunia disebabkan saiz luar biasa biawak itu dan hanya terdapat di Kepulauan Nusa Tenggara di Indonesia.

SARANG biawak Komodo.
SARANG biawak Komodo.

Taman Nasional Komodo diisytiharkan sebagai Tapak Warisan Dunia, Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada 1991. Tahun lalu ia menerima kunjungan 176,830 pelancong yang terdiri daripada 121,409 pelancong asing dan selebihnya tempatan.

“Setakat Julai tahun ini sahaja, Taman Nasional Komodo dikunjungi 102,016 pelancong iaitu 68,972 pelancong asing dan 33,044 rakyat Indonesia, meningkat 62.8 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

“Taman Nasional Komodo adalah tarikan utama pelancongan di kawasan Labuan Bajo dan antara pusat pelancongan utama di Inonesia dan pihak Wonderful Indonesia berusaha keras menjayakan hasrat menarik lebih ramai pelancong asing ke destinasi ini,” jelas Ketua Pasaran Pelancongan Antarabangsa bagi Pihak Berkuasa Pelancongan Labuan Bajo Flores, Raisa Lestari Niloperbowo.

MEDIA Malaysia dan pempengaruh sosial media dari Indonesia dalam sesi lawatan ke Taman Nasional Komodo, baru-baru ini.
MEDIA Malaysia dan pempengaruh sosial media dari Indonesia dalam sesi lawatan ke Taman Nasional Komodo, baru-baru ini.

Kerajaan Indonesia baru-baru ini membatalkan rancangan menutup

Taman Nasional Komodo tahun depan berikutan populasi biawak Komodo masih stabil dan belum terancam.

Menteri Alam Sekitar dan Perhutanan, Siti Nurbaya Bakar berkata, data menunjukkan populasi biawak gergasi itu stabil sejak lebih 10 tahun lalu.

“Tiada ancaman menyebabkan populasi Komodo menurun,” katanya dalam satu kenyataan.

Julai lalu, Gabenor Nusa Tenggara Timur, Viktor B Laiskodat berkata, taman itu perlu ditutup kepada orang awam bagi mengelak proses pembiakan reptilia terbabit diganggu selain mengurangkan risiko diburu.

Berdasarkan perancangan asal, ia dibuka setahun kemudian sebagai destinasi pelancongan eksklusif.

Namun, perancangan itu menerima bantahan penduduk yang bergantung kepada pelancong sebagai sumber pendapatan.

Pengumuman itu berita baik untuk mereka yang ingin melawat Taman Nasional Komodo. Syarikat penerbangan tambang murah AirAsia kini menawarkan perjalanan dari Kuala Lumpur-Bali-Labuan Bajo dengan harga berpatutan.

Untuk rekod, ketika ini masih terdapat sekitar 5,000 ekor biawak Komodo yang menghuni beberapa pulau di Nusa Tenggara.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Oktober 2019 @ 6:31 AM