PERLU kerja pembinaan semula.
PERLU kerja pembinaan semula.
Nurul Husna Mahmud

Jalan Persekutuan menjadi pilihan bagi kebanyakan pengguna jalan raya terutama ketika trafik memuncak menjelang musim perayaan.

Peningkatan jumlah pengguna jalan raya bukan sekali ganda, sebaliknya tiga kali daripada jumlah sedia ada menyebabkan jalan Persekutuan dilihat alternatif terbaik selain jalan negeri.

Merujuk senario itu, tugas penting dimainkan Kementerian Kerja Raya (KKR) dalam memastian struktur jalan Persekutuan dalam keadaan terbaik bagi menjamin kelancaran trafik selain mengelak sebarang risiko kepada pengguna.

Realitinya tugas untuk memastikan kerja penyelenggaraan 17,771.4 kilometer (km) Jalan Persekutuan yang terdapat di seluruh negara bukan mudah apatah lagi kementerian itu berdepan pelbagai cabaran termasuklah peruntukan ketika Belanjawan 2019 baru-baru ini.

Temubual media bersama Menteri Kerja Raya, Baru Bian dalam program jelajah FTRoadpedia Ke Zon Timur 2.0 baru-baru ini, beliau berkata, hanya RM100 juta diperuntukkan dalam Belanjawan 2019 untuk kerja penyelenggaraan jalan-jalan persekutuan di seluruh negara.

Sedangkan, kos penyelenggaraan sebenar untuk pengurusan selia jalan lebih baik menelan belanja RM2 bilion.

“Sejak 2015, kementerian menerima peruntukan RM600 juta hingga RM800 juta setahun. Namun, mulai tahun ini ia dikurangkan ke RM100 juta selaras dengan langkah kerajaan mengurangkan peruntukan buat semua kementerian kerana perlu mengecilkan hutang negara yang berjumlah RM1 trilion sebagai usaha membawa ekonomi negara kembali ke landasan yang betul secara fiskal dalam tempoh tiga tahun,” katanya.

JALAN Persekutuan alternatif pengguna jalan raya untuk sampai ke destinasi tanpa akses lebuh raya. FOTO Rohanis Shukri.
JALAN Persekutuan alternatif pengguna jalan raya untuk sampai ke destinasi tanpa akses lebuh raya. FOTO Rohanis Shukri.

Tambah beliau, relevan dengan keperluan termasuklah menampung kos penyelenggaraan kian meningkat, kementeriannya memohon peruntukan tambahan daripada Kementerian Kewangan sebanyak RM610 juta bagi menampung keperluan melaksanakan penyelenggaraan jalan raya.

“Beberapa isu yang menjadi kebimbangan apabila peruntukan tidak cukup untuk program kerja penyelenggaraan jalan persekutuan di seluruh negara tidak dapat dilaksanakan mengikut jadual.

“Kegagalan memenuhi jadual penyelenggaraan atau membaik pulih jalan-jalan menjejaskan prestasi sehingga kepada kegagalan struktur jalan raya yang sekali gus boleh mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya.

“Malah apabila terlalu lama ditangguh, ada kemungkinan kos penyelenggaraan jalan raya menjadi tidak lestari atau terlalu mahal pada masa depan,” katanya.

Tambah Baru lagi, prestasi jalan Persekutuan ketika ini kurang memberangsangkan berdasarkan kajian yang dijalankan pihaknya.

“Penyelenggaraan berjadual sangat penting terutama jalan yang sudah tiba had tempoh untuk diturap atau dibina semula.

“Kajian Jabatan Kerja Raya (JKR) yang dijalankan di Zon Selatan tahun lalu mendapati 35 peratus jalan persekutuan di Johor, Negeri Sembilan dan Melaka dalam kategori ‘buruk dan teruk’ dan perlu diturap semula,” katanya.

LORI atau kenderaan komersial muatan tinggi menjejaskan kualiti jalan. FOTO Rohanis Shukri.
LORI atau kenderaan komersial muatan tinggi menjejaskan kualiti jalan. FOTO Rohanis Shukri.

Menurutnya, JKR mengambil beberapa langkah termasuklah melakukan rondaan berkala dan pemeriksaan rutin oleh syarikat konsesi selain aduan orang ramai.

Sejak 2016 hingga Julai 2018, pihak kementerian menerima 15,594 aduan dan 50 peratus daripadanya membabitkan isu penyelenggaraan.

“Bagi kerja penyelenggaraan terdapat dua skop iaitu rutin berkala.

“Penyelenggaraan rutin biasanya kerja lebih mudah iaitu memotong rumput, penampalan lubang dan kerja kecemasan kecil seperti laporan pokok tumbang.

“Tindakan terhadap masalah itu akan diselesaikan dalam masa 24 jam selepas menerima aduan.

“Sementara untuk tugas berkala seperti penyelenggaraan turapan atau bukan turapan tertakluk pada kelulusan peruntukan kerajaan.

“Selepas menerima peruntukan, pelaksanaan kerja-kerja itu akan mengambil masa dua minggu hingga enam bulan bergantung kepada jenis kerja yang diluluskan,” katanya.

PEMANTAUAN pihak KKR.
PEMANTAUAN pihak KKR.

Sementara itu, Pengarah Kanan Cawangan Jalan JKR, Ir Zulakmal Sufian berkata, rekahan jalan antara masalah sering berlaku pada Jalan Persekutuan.

“Rekahan jalan biasanya bermula dengan keretakan kecil sebelum ia bertambah dan bersambung antara satu sama lain seakan-akan seperti kulit buaya.

“Rekahan panjang ini sering berlaku di bahagian kiri atau kanan lorong. Ini menunjukkan struktur jalan itu lemah dan akhirnya membentuk lubang dan lopak.

“Masalah lain adalah permukaan jalan yang melendut. Lazimnya ia terjadi pada laluan mendaki kerana kenderaan berat melaluinya dengan lebih perlahan yang boleh menyebabkan lendutan,” katanya.

Lendutan juga boleh berlaku di persimpangan akibat kenderaan membrek dan mula bergerak, katanya, sambil menjelaskan bahawa permukaan jalan yang mengalami lendutan akan menakung air ketika hujan dan boleh membahayakan pengguna jalan raya.

Selain itu, kerosakan jalan berlaku apabila batu baur pada permukaan jalan tercabut dan menyebabkannya menjadi kasar.

Jelasnya, keadaan itu biasanya berlaku pada jalan yang sudah lama diturap menyebabkan bitumen mengeras. Kerosakan sama turut berlaku di lokasi jalan berselekoh.

CONTOH kerja penyelenggaraan yang memerlukan peruntukan.
CONTOH kerja penyelenggaraan yang memerlukan peruntukan.

“Apabila bitumen mengeras, daya pengikat di antara bitumen dan batu berkurangan dan akan menyebabkan batu tercabut kerana tolakan sendeng.

“Isi padu kenderaan yang tinggi dan kenderaan berat seperti lori dan treler membawa lebih muatan akan mempercepatkan lagi kerosakan berkenaan dan memendekkan jangka hayat jalan,” katanya sambil menjelaskan keadaan itu bertambah buruk sekiranya kenderaan berat yang mempunyai beban gandar melebihi had 12 tan yang dibenarkan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Zulakmal berkata, penyelenggaraan bagi membaik pulih jalan perlu dilakukan awal bagi mengelak kerosakan menjadi lebih teruk.

“Sesetengah penyelenggaraan membabitkan aspek keselamatan pengguna seperti mengecat kembali garisan di atas jalan bagi membantu pengguna terutama yang memandu pada waktu malam.

“Ini biasanya disebabkan ramai pemandu mengadu keadaan gelap di jalan selain garisan jalan pudar yang sukar dilihat pada waktu malam,” katanya.

Dalam Program jelajah FTRoadpedia Ke Zon Timur 2.0 selama tiga hari itu disertai Timbalan Menteri berkenaan Mohd Annuar Mohd Tahir, pegawai kanan KKR dan wakil media.

Program jelajah itu membawa rombongan berkenaan ke Pahang, Kelantan dan Terengganu bagi meninjau kualiti penyelenggaraan jalan-jalan persekutuan di tiga negeri itu.

BARU bersama anggota rombongan yang menyertai FTRoadpedia Ke Zon Timur 2.0 baru-baru. FOTO Rohanis Shukri.
BARU bersama anggota rombongan yang menyertai FTRoadpedia Ke Zon Timur 2.0 baru-baru. FOTO Rohanis Shukri.

Urus tadbir jalan di Malaysia

• i. MARRIS (Malaysia Road Record Information System) diwujudkan oleh Kementerian Kewangan bagi membolehkan kerajaan negeri memohon peruntukan penyenggaraan negeri selaras dengan Perlembagaan Persekutuan. Peruntukan ini diberi secara terus oleh Kementerian Kewangan kepada kerajaan negeri dan tidak melalui Kementerian Kerja Raya.

• ii. Jalan Persekutuan pula jalan yang diwartakan di bawah Akta Jalan Persekutuan. Jalan ini diuruskan oleh Kementerian Kerja Raya melalui peruntukan yang ditentukan atau diberikan oleh Kementerian Kewangan.

• Jumlah keseluruhan jalan persekutuan ialah 17,771.42 kilometer (km) termasuk di Sabah dan Sarawak.

• Antara jalan persekutuan yang sering mengalami kerosakan serius ialah di jalan Telupid-Sandakan di Sabah dan jalan menuju Pelabuhan Klang di Selangor.

• Kerosakan berpunca daripada jumlah kenderaan tinggi yang melalui jalan berkenaan selain kenderaan berat seperti lori dan treler membawa muatan melebihi had ditetapkan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mac 2019 @ 7:01 AM