STESEN Keretapi Ipoh, Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab.
STESEN Keretapi Ipoh, Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab.
Shaarani Ismail


Ipoh: Sebanyak 23 projek berimpak tinggi membabitkan kos keseluruhan RM4.7 bilion dilaksanakan di Perak menerusi Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11).

Sebanyak 10 daripada projek yang memberi manfaat besar kepada penduduk itu dilaksanakan di bawah Kementerian Kerja Raya membabitkan peruntukan sebanyak RM1.84 bilion.

Ia membabitkan projek menaik taraf Jalan Persekutuan 5 Teluk Intan-Kampung Lekir dengan kos RM706 juta, naik taraf laluan Damar Laut ke Changkat Jering Pakej Satu (RM143 juta), naik taraf laluan FT60 Damar Laut ke Changkat Jering Pakej Dua (RM103 juta), persimpangan bertingkat FT005 ke FT069 di Hutan Melintang, Bagan Datuk (RM144 juta), naik taraf laluan FT073 dari Parit ke Siputeh (RM75 juta) dan naik taraf laluan FT069 dari Simpang Empat Hutan Melintang ke Parit 19 Bagan Datuk bernilai RM111 juta.

Projek lain membabitkan pembinaan jambatan baru Bagan Datuk ke Kampung Sejagop, Perak Tengah bernilai RM446 juta, membina jambatan baru menghubungkan Kampung Lambor Kiri ke Kampung Lambor Kanan di Perak Tengah merentasi Sungai Perak (RM62 juta) dan membina jambatan baru antara Kampung Seberang Manong dan Pekan Manong di Kuala Kangsar (RM43 juta).

Selain itu, 10 lagi projek untuk manfaat rakyat melalui peruntukan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE) berjumlah RM646 juta membabitkan beberapa kerja pembinaan tebatan banjir, memulihkan koridor sungai, menaikkan sistem saliran serta pembangunan lembangan sungai di seluruh negeri.

Antaranya ialah Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Perak Fasa 1 membabitkan kos RM250 juta, Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Kinta Fasa 2 (RM108 juta), RTB Lembangan Sungai Beruas (RM36.8 juta), RTB Bagan Datuk (RM87.6 juta), RTB Gerik (RM74 juta) dan RTB Teluk Intan (RM71 juta).

KERJA pembinaan jambatan baru Bagan Datuk ke Kampung Sejagop  mula dijalankan pada 3 Julai tahun lalu.
KERJA pembinaan jambatan baru Bagan Datuk ke Kampung Sejagop mula dijalankan pada 3 Julai tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air negeri Datuk Zainol Fadzi Paharuddin berkata, sebahagian besar daripada projek berkenaan sudah pun diluluskan dan sedang dalam pembinaan manakala beberapa yang lain di peringkat proses penilaian.

Beliau berkata, antara yang mendapat perhatian adalah projek RTB dan pembangunan lembangan sungai kerana ia memberikan impak cukup besar kepada penduduk setempat bagi mengatasi masalah banjir yang lazim berlaku ketika menjelang musim tengkujuh.

Katanya, Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTHHA) antara yang menerima peruntukan tertinggi dalam melaksanakan projek berimpak tinggi berjumlah RM2.24 bilion.

“Ia membabitkan pembinaan loji rawatan kumbahan serantau dan rangkaian paip pembetungan di Assam Kumbang, Taiping bernilai RM194 juta serta kerja sambungan loji kumbahan serantau dan rangkaian paip pembetungan di Pasir Bogak, Pulau Pangkor berjumlah RM32 juta selain kerja sambungan loji kumbahan serantau dan rangkaian paip pembetungan Kinta Barat dekat Papan, Ipoh berjumlah RM2.02 bilion,” katanya.

Katanya, kebanyakan kerja berkenaan sedang berlangsung dan ia akan memberikan manfaat dan impak kepada rakyat Perak keseluruhannya.

Limpahan pembangunan di pekan koboi

Pembinaan Lebuhraya Pantai Barat (WCE) menghubungkan Taiping, Perak dengan Banting, Selangor yang dijangka siap pada Ogos tahun depan bakal memacu pembangunan dan limpahan ekonomi kepada penduduk khususnya di sepanjang jajarannya.

PROJEK Lebuhraya Pantai Barat  menghubungkan Taiping dengan Banting  dijangka siap pada Ogos tahun depan.
PROJEK Lebuhraya Pantai Barat menghubungkan Taiping dengan Banting dijangka siap pada Ogos tahun depan.

Daripada kos keseluruhan RM5.044 bilion, sebanyak RM1.922 bilion membabitkan pakej pembinaan WCE di Perak manakala RM3.122 bilion lagi bagi pakej pembinaan di Selangor.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin, berkata jajaran WCE di Perak adalah sepanjang 139.2 kilometer (km).

Beliau berkata, ia dibina secara serentak membabitkan lima pakej iaitu pakej lapan hingga 12, yang membabitkan pembinaan 11 susur keluar dan persimpangan bertingkat selain tiga kawasan rehat dan rawat (R&R).

Katanya, 11 persimpangan bertingkat akan dibina di Hutan Melintang, Teluk Intan, Kampung Lekir, Sitiawan Selatan, Sitiawan Utara, Changkat Cermin, Kinta Barat, Beruas, A130, Trong dan Taiping selatan.

“Pembinaan WCE ini akan berupaya meningkatkan peluang pekerjaan dalam kalangan penduduk setempat khususnya pekerja mahir dan separa mahir.

“Selepas siap kelak, kemudahan itu bakal membuka lebih banyak peluang pekerjaan termasuk sektor penyelenggaraan lebuh raya dan perniagaan di kawasan R&R yang terbabit,” katanya, di sini.

Zainol Fadzi berkata, WCE akan memberikan limpahan pembangunan kepada penduduk sekitar ditambah dengan peningkatan nilai hartanah di sepanjang jajaran selain pembangunan sosio ekonomi setempat.

“Ia juga memendekkan tempoh waktu perjalanan khususnya buat penduduk di daerah Hilir Perak dan Bagan Datuk.

“WCE juga diharapkan dapat memacu dan menyemarakkan lagi potensi sektor pelancongan di Hilir Perak dan Bagan Datuk yang sebelum ini dikenali, tetapi tidak dapat diakses dengan mudah kerana tiada kemudahan laluan lebuh raya menyambungkan beberapa lokasi secara terus.

“Sebagai contoh Teluk Intan, kita ada Menara Condong yang menjadi ikon pelancongan yang cukup dikenali manakala di Bagan Datuk ada Jeti Bagan Datuk, Batu Bertengggek, Beting Beras Basah dan beberapa lagi yang pasti dapat diketengahkan dengan lebih berkesan dengan kemudahan lebuh raya yang ada.

“Selain itu, ia juga diharap dapat memantapkan lagi aktiviti ekonomi setempat khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) antaranya kilang kopi Che Nah yang cukup sinonim di Perak yang terletak di Chenderong Balai dan industri kraf tempatan,” katanya.

Mengulas lanjut, Zainol Fadzi berkata, pembinaan secara serentak WCE bermakna semua pakej dibina sekali tanpa perlu menunggu pakej awal siap terlebih dulu membabitkan pembinaan di Selangor mahupun Perak.

“Ketika ini prestasi kemajuan fizikal keseluruhan bagi pakej di Perak ialah sekitar 56.07 peratus berbanding 73.53 peratus jika mengikut jadual,” katanya sambil menambah kelewatan berpunca isu teknikal dan kerja pembinaan struktur seperti jambatan yang membabitkan proses casting dan moulding.

Sementara itu, penjawat awam dari Bagan Datuk, Badrul Amin Mohamad Marzuki, 20, berkata, WCE satu rahmat khususnya di Bagan Datuk.

“Laluan ini memudahkan pengguna jalan raya yang mahu berulang-alik dari Bagan Datuk ke Kuala Lumpur termasuk menyingkatkan masa perjalanan.

“Bagan Datuk juga akan dapat limpahan ekonomi, jika dulu hanya pekan koboi, sekarang ia semakin membangun dan dikenali,” katanya.

Peniaga, S Appalasamy, 58, berkata WCE bukan hanya memanfaatkan penduduk kawasan Hilir Perak dan Bagan Datuk malah kawasan lain termasuk Seri Iskandar dan Taiping.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 April 2018 @ 9:36 AM