PENYERTAAN dalam Hero Remaja 2020  bawa tuah buat Meerqeen. - FOTO Nurul Amelia Ishak
PENYERTAAN dalam Hero Remaja 2020 bawa tuah buat Meerqeen. - FOTO Nurul Amelia Ishak
Najiy Jefri


BIARPUN tidak dinobatkan sebagai juara Hero Remaja 2020, laluan kerjaya seni Meerqeen sebagai pelakon baru semakin membuahkan impak positif.

Mengakui bersyukur dengan rezeki diterima, jejaka kacak berusia 19 tahun ini tidak menyangka kini mendapat tawaran demi tawaran daripada stesen televisyen dan penerbit drama.

Kata Meerqeen, sudah hampir empat tahun dia mengimpikan saat ini. Namun, tiada tawaran yang hadir sepanjang tempoh terbabit sehinggalah penyertaannya dalam Hero Remaja 2020.

"Satu perasaan yang sukar diungkapkan dengan kata-kata. Ketika mendapat tawaran berlakon untuk dua telefilem dan drama bersiri di Astro Prima, saya terus teringat perjalanan yang penuh liku ketika mahu mendapatkan peluang ini.

"Sejak berusia 15 tahun lagi, banyak uji bakat yang saya hadiri, tapi hanya satu saja tawaran berlakon iklan yang diperoleh sebelum memasuki program Hero Remaja 2020.

"Walaupun rezeki ketika itu tidak berpihak kepada saya, tapi usaha terus dilakukan kerana enggan berputus asa. Saya percaya lambat atau cepat, rezeki pasti datang jika kita giat berusaha mendapatkan sesuatu yang diminati.

"Tak sangka, Hero Remaja 2020 mengubah segala-galanya. Kini saya diberi tanggungjawab untuk membintangi tiga naskhah karya menarik dan saya gembira apabila penantian yang ditunggu-tunggu akhirnya menjadi kenyataan," katanya.

Tambah Meerqeen, soal populariti bukan menjadi keutamaan ketika ini, sebaliknya dia mahu mempelajari teknik lakonan supaya bakatnya lebih menjadi perhatian.

"Dalam tempoh dua tahun ini, saya nak cari seberapa banyak pengalaman dalam dunia lakonan. Bukan populariti yang saya kejar kerana percaya kalau bakat lebih menonjol, pasti kehadiran dalam industri seni akan bertahan lama.

MEERQEEN makin 'laris' dalam industri lakonan. - FOTO Nurul Amelia Ishak
MEERQEEN makin 'laris' dalam industri lakonan. - FOTO Nurul Amelia Ishak

"Bagi saya, bakat adalah tunjang utama untuk menjadi pelakon. Jadi, saya perlu berusaha dan memastikan kehadiran tidak mengecewakan mana-mana pihak. Kalau tiada bakat ,bagaimana saya nak hidupkan sesuatu watak itu dengan berkesan," katanya.

Meerqeen yang kini membintangi drama bersiri 70 episod berjudul Angkara Cinta berkata, sejak aktif menjalani penggambaran dia mengakui perlu mengorbankan segala-galanya termasuk waktu bersama keluarga.

"Antara cabaran utama yang saya berdepan sekarang adalah perlu mengorbankan segala aktiviti termasuk masa bersama keluarga demi karier.

"Namun jika ada waktu terluang, saya akan cuba sebaik mungkin gunakan masa yang ada untuk bersama keluarga. Saya enggan terlepas saat-saat penting bersama insan paling disayangi.

"Selain itu, saya juga dalam proses belajar selok-belok dunia lakonan. Ada banyak kelemahan yang perlu saya baiki jika ingin dipandang sebagai pelakon yang bagus," katanya.

Menyentuh mengenai soal akademik, Meerqeen mengakui belum menghabiskan pelajarannya dalam Diploma Insurans di Kolej Vokasional Gombak, namun akan cuba menamatkan pengajian itu secepat mungkin.

"Saya akan habiskan pelajaran saya, cuma sekarang ditangguhkan buat sementara waktu. Apapun, saya selalu anggap apabila rezeki sudah ada depan mata, masa itu harus digunakan sebaik mungkin.

"Kerjaya ini yang saya impikan selama ini. Namun, mungkin rezeki ini tidak akan datang lagi, jika saya tak rebut sekarang.

"Apapun, soal pelajaran tetap masih menjadi keutamaan. Saya akan mencari masa untuk habiskan pelajaran kerana itu bekalan saya di masa depan," katanya yang kini diuruskan oleh dua pengurus peribadi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 September 2020 @ 6:28 AM