LELAH kupas isu percintaan.
LELAH kupas isu percintaan.
Ridzuan Abdul Rahman


BAKAT istimewa dan kualiti vokal dimiliki penyanyi, Aqeesh Aleeya, 20, mendorong Nova Music mengambil Aqeesh sebagai artis rakaman di bawah naungan syarikat rakaman itu.

Rezeki berpihak kepada artis berbakat itu apabila single ketiga Aqeesh dan yang pertama di bawah Nova Music berjudul Retak diterima baik peminat muzik tanah air hingga berjaya menembusi Top 30 dalam carta lagu hit beberapa radio tempatan.

Retak juga menjadi lagu tema bagi drama bersiri Rindu Kasih.

Aqeesh yang mula membabitkan diri dalam industri hiburan sejak berusia sembilan tahun dengan menyertai pelbagai pertandingan nyanyian pernah tampil dengan single sulung berjudul Aku Malu ciptaan komposer ternama, DJ Fuzz dan Hez Hazmi diikuti lagu duet bersama Momo juga anggota kumpulan Unknown berjudul Kau Ada pada 2022.

Aqeesh atau nama sebenarnya Nur Balqis Aleeya Shahrom kini muncul dengan single keempat berjudul Lelah hasil ciptaan sepenuhnya komposer terkenal, Sharon Paul dan Mim Hamzah.

Kemunculan Aqeesh dalam program Terpaling Juara di TV3 pada 2022 mencuri perhatian ramai. Di bawah bimbingan artis dan komposer muda berbakat, Akim Ahmad, Aqeesh mara hingga minggu keenam.

Bercerita mengenai lagu Lelah, Aqeesh berkata, single itu bergenre balada dengan gabungan muzik moden dan klasikal.

"Lagu ini berkisar mengenai perasaan seseorang perempuan yang sudah penat ataupun lelah dengan hubungan bersama pasangannya yang selalu menyakitinya dan menghancurkan hubungan ini.

AQEESH tampil dengan lagu Lelah.
AQEESH tampil dengan lagu Lelah.

"Bagi saya, semua single yang pernah dihasilkan mempunyai kelebihan tersendiri dan untuk lagu Lelah ini kelainannya adalah ia diselitkan sikit gabungan muzik moden dan klasikal," katanya.

Menurut Aqeesh lagi, kerjasama dengan komposer Sharon Paul adalah pengalaman yang cukup berharga buatnya.

"Sharon banyak memberikan ilmu baharu ketika merakamkan lagu ini. Ini kali kedua saya bekerjasama dengan Sharon. Dia sangat baik dan senang bekerjasama dengannya.

"Cabarannya ialah sehari sebelum rakaman lagu ini saya demam dan selesema. Selain itu, saya perlu bergegas selepas kuliah dari kampus di Negeri Sembilan ke studio rakaman di Kuala Lumpur," kata Aqeesh yang pernah muncul naib juara pertandingan Bintang Kecil 2014.

Menariknya lagu Lelah turut tersenarai antara lagu tema drama Rindu Kasih 2 di slot Samarinda TV3. Drama bersiri 20 Episod ini adalah kesinambungan drama Rindu Kasih menampilkan bintang utama antaranya Ummi Nazeera, Izzue Islam dan Fazlina Ahmad Daud.

Pelbagai video berkaitan Episod 10 drama Rindu Kasih 2 turut melakar sejarah sehingga mencatat sejumlah 8.6 juta tontonan di TikTok.

Justeru, Aqeesh berharap lagu terbaharu yang disampaikannya dapat diterima peminat.

"Semoga lagu ini dapat diterima semua orang dengan hati terbuka dan faham perasaan yang saya cuba sampaikan melalui lagu ini.

"Selain itu, saya berharap pendengar dapat juga mengaitkan perasaan dan emosi mereka menerusi lagu ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2024 @ 6:31 AM