PENYANYI remaja Aqeesh Aleeya.
PENYANYI remaja Aqeesh Aleeya.
Michelle Gun

Rezeki penyanyi remaja Aqeesh Aleeya, 14, bertambah murah sejak menjuarai pertandingan Bakat Ohsem Malaysia (BOM) 2017.

Selain banyak memenuhi undangan, Aqeesh atau nama sebenarnya Nur Balqis Aleeya Shahrom baru saja tampil dengan single sulung, Aku Malu.

Lagu berunsur pop dance itu ciptaan komposer DJ Fuzz manakala lirik oleh Hez Hazmi.

Seperti artis lain, jadual harian remaja berasal dari Selangor ini sentiasa padat dengan pelbagai acara membabitkan karier seni yang perlu dipenuhi.

Pada masa sama, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Sri Damansara 2 ini juga perlu memberi tumpuan terhadap pelajarannya.

Namun begitu, Aqeesh tidak mempunyai perancangan mengikut jejak beberapa artis muda membuat pembelajaran dari rumah.

“Biarpun jadual padat, saya belum fikir ke situ lagi. Ini kerana saya sudah biasa berdepan jadual harian yang padat.

“Oleh itu, saya yakin dapat memberi fokus terhadap pelajaran dan karier nyanyian dengan baik,” katanya.

Kini bernaung di bawah hurr.tv, Aqeesh memberitahu memperuntukkan waktu hujung minggu untuk persembahan.

“Selepas balik dari sekolah, saya akan berlatih vokal dan menari. Sebelah malam pula, saya menyiapkan kerja sekolah dan buat ulang kaji,” katanya.

Menurut Aqeesh, dia sudah membuat persiapan untuk peperiksaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) yang bakal diduduki tahun depan.

“Saya akan memastikan setiap masa lapang dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya. Walaupun dalam kereta, saya akan membawa nota pembelajaran untuk ulang kaji,” katanya.

Gadis ini turut menyatakan hasrat ingin mengembangkan bakat seninya dalam bidang pengacaraan dan lakonan.

“Saya ada menghadiri sesi uji bakat menjadi pengacara. Sebelum ini, saya sudah ada pengalaman mengendalikan program Kids Planet.

“Bagi lakonan pula, saya tidak akan menolak sekiranya ada tawaran,” katanya.

Aqeesh pernah menjuarai pertandingan Bintang Kecil Kebangsaan RTM 2013 dan dia turut dinobatkan sebagai Peserta Terbaik Semenanjung.

Selepas menjuarai BOM 2017, Aqeesh diberi kepercayaan untuk membuat persembahan di pentas besar pertandingan ratu cantik, Miss Universe Malaysia, Januari lalu.

Selain itu, dia turut berduet dengan Ismail Izzani dan Naim Daniel dalam program Music Jam, hurr.tv.

Mengenai Aku Malu, lagu itu menggambarkan situasi seseorang jatuh cinta dalam diam terhadap individu diminati.

Bagaimanapun, individu itu tidak berani meluahkan perasaannya.

Aku Malu boleh didengari di platfom digital iTunes, Spotify dan Joox.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Julai 2018 @ 3:00 AM