Aqeesh Aleeya gagal mara ke separuh akhir program Terpaling Juara. FOTO GENES GULITAH
Aqeesh Aleeya gagal mara ke separuh akhir program Terpaling Juara. FOTO GENES GULITAH
Syafil Syazwan Jefri


Shah Alam: Peserta program Terpaling Juara, Aqeesh tersingkir sekali gus gagal mara ke separuh akhir program itu yang akan berlangsung minggu depan. 

Aqeesh atau nama sebenarnya Aqeesh Aleeya mengucapkan terima kasih kepada semua yang menyokongnya sepanjang menjadi peserta. 

"Terima kasih kepada semua yang mengundi saya. Terima kasih juga kepada Abang Akim. Apa yang berlaku ini menguatkan diri saya untuk berada di dalam industri muzik," katanya kepada Harian Metro. 

Menurutnya, dia yakin, ada rezeki untuknya di luar sana. 

"Tak semestinya kita akan sentiasa berada di atas sebab ada kalanya, kita akan berada di bawah.

"Insya-Allah, akan ada rezeki saya di luar. Apa pun, saya sangat gembira dan berpuas hati dengan persembahan saya pada malam ini," katanya. 

Kapten kumpulannya, Akim Ahmad pula berkata, ini bukanlah titik akhir buat anak didiknya itu. 

"Kalau tanya saya secara peribadi, Aqeesh sepatutnya perlu terus berada dalam pertandingan ini. Memang saya sangat kecewa, tetapi keputusan tidak berpihak kepadanya. 

"Saya harap, ini bukan titik akhir kepadanya, tetapi akan menjadi pembuka rezeki dan pembakar semangat untuk Aqeesh terus mengorak langkah di dalam industri," katanya. 

Terdahulu, Aqeesh tampil mempersembahkan lagu Kisah Cinta Kita, duet bersama penyanyi jemputan, Cliff Umar. 

Empat peserta iaitu Hazami, Rahmad Mega, Shaz dan Aqmal diumumkan layak mara ke pusingan separuh akhir minggu hadapan. 

Selain itu, Shaz yang mempersembahkan lagu Ku Bersuara secara duet bersama Nikki Palikat turut menerima hadiah persembahan terbaik pada minggu ini dan membawa pulang wang tunai RM5,000. 

Terpaling Juara dihoskan oleh Haziq Hussni dan Shiha Zikir, bersiaran selama lapan episod di TV3 pada setiap Ahad, jam 9 malam. 

Pemenang Terpaling Juara bakal membawa pulang hadiah bernilai RM100,000, manakala naib juara  bakal memenangi RM50,000 dan tempat ketiga pula menerima RM30,000.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 September 2022 @ 12:28 AM