PERTARUH Retak dicipta khas untuk lagu OST drama bersiri Rindu Kasih.
PERTARUH Retak dicipta khas untuk lagu OST drama bersiri Rindu Kasih.
Zaara Talita


MELIHATKAN bakat dan kualiti vokal dimiliki Aqeesh Aleeya, 18, mendorong syarikat rakaman Nova Music melamarnya sebagai artis rakaman.

Aqeesh atau nama sebenarnya Nur Balqis Aleeya Shahrom turut membuktikan kemampuan di bawah bimbingan artis dan komposer muda berbakat, Akim Ahmad apabila mara hingga minggu ke-6 program realiti nyanyian, Terpaling Juara disiarkan di TV3 baru-baru ini.

Gadis kelahiran Selangor ini mula membabitkan diri dalam dalam industri hiburan tanah air ketika menyertai pertandingan 'Bintang Kecil 2013' pada usia sembilan tahun.

Selepas itu, rezeki Aqeesh lebih pada bidang pengacaraan dan lakonan. Selepas menjuarai pertandingan bakat dalam talian Bakat Ohsem Malaysia (BOM) 2017 anjuran hurr.tv ketika berusia 13 tahun, Aqeesh mengeluarkan single sulung berjudul Aku Malu ciptaan DJ Fuzz dan Hez Hazmi.

Pada Mei lalu, Aqeesh tampil dengan single kedua berjudul, Kau Ada, sebuah lagu duet bersama Momo, seorang anggota kumpulan Unknown yang popular dengan lagu Jangan Marah (Baby Sayang).

Terbaharu, Aqeesh merakamkan single ketiga berjudul Retak ciptaan komposer, Firdaus Rahmat manakala lirik lagu ditulis bersama Arisz Ab Rahman dan Firdaus Rahmat.

Single berkenaan dicipta khas untuk lagu OST drama bersiri Rindu Kasih terbitan P&D Pictures Sdn Bhd. Drama 15 Episod ini dibintangi pelakon hebat antaranya, Umi Nazeera, Izzue Islam dan Nafiz Muaz bersiaran di slot Samarinda TV3 setiap Isnin hingga Khamis jam 10 malam bermula 16 November lalu.

SESUAI bawa lagu bergenre balada dan lagu berat.
SESUAI bawa lagu bergenre balada dan lagu berat.

Menurut Aqeesh, lagu bergenre balada itu mempunyai keunikan tersendiri, kena dengan diri selain berbeza daripada dua single sebelumnya.

"Dari awal mendengar demo lagu ini ia memang sedap. Ini single pertama saya dengan genre seperti ini. Alhamdulillah, tempoh rakaman pun tak ambil masa lama. Saya rasa proses merakamkan single baharu ini semuanya agak mudah cuma saya perlu lebih menjiwai dalam menyanyikan lagu ini," katanya.

Menurut Aqeesh, tidak pernah timbul rasa ralat dan putus asa dalam diri biarpun perlu menunggu lama untuk muncul dengan single baharu.

Sebaliknya, pengalaman diperoleh hasil daripada menyertai pertandingan nyanyian dijadikan batu loncatan untuk terus memperbaiki diri.

"Bagi saya itu semuanya bergantung kepada usia dan rezeki. Macam single pertama dan kedua, saya keluarkan lagu yang bersesuaian dengan umur ketika itu iaitu genre rancak. Untuk umur sekarang ini, saya rasa dah sesuai untuk bawa lagu bergenre balada dan lagu berat.

"Dalam masa sama, saya juga ada menyertai banyak pertandingan dan ada menang dan kalah. Bagi saya itu semua rezeki juga dan saya ambil itu sebagai penguat untuk terus bertahan dalam industri muzik," katanya.

Ditanya mengenai persaingan dalam kalangan artis baharu ketika ini, Aqeesh menyifatkan setiap penyanyi mempunyai kelebihan dan kekuatan masing-masing.

"Saya percaya semua penyanyi baharu mempunyai keistimewaan tersendiri. Jadi, saya tak berpegang sangat kepada konsep bersaing. Saya rasa kami semua nak memeriahkan lagi industri seni tanah air dengan cara masing-masing. Selain itu, semua bergantung kepada rezeki," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 November 2022 @ 6:48 AM