Pelakon, Maya Karin. Foto Raihana Mansor
Pelakon, Maya Karin. Foto Raihana Mansor
Ramlah Zainal


Shah Alam: Pelakon popular Maya Karin mendedahkan dia akan mendapat serangan 'anxiety' atau kebimbangan melampau jika kepenatan dan tidak cukup rehat.

Maya atau nama sebenarnya, Maya Karin Roelcke, 44, berkata, dia juga perlu sedar dan lebih berhati-hati kerana serangan anxiety itu kadang-kadang sukar dijangka.

"Selalunya ia menyerang bila saya tidak cukup tidur dan tidak lalu makan sebab kadang-kadang, saya tak makan satu hari kerana tak sempat.

"Kalau dapat serangan anxiety, saya juga tidak mahu berjumpa dengan sesiapa pun. Saya hanya menonton TV dan duduk dalam bilik hawa dingin.

"Saya juga tidak mengambil sebarang ubat-ubatan untuk merawat masalah anxiety dan hanya perlu rehat secukupnya sahaja," katanya ketika ditemui Harian Metro.

Ditanya sama ada masalah anxiety mengganggu karier seninya pula, bintang filem Pontianak Harum Sundal Malam itu berkata, dia sentiasa bersikap profesional ketika bekerja dalam menunaikan tanggung-jawabnya kepada industri seni.

"Saya sangat bertuah kerana dapat melakukan kerja yang disukai sejak dulu dan itu yang buat saya gembira dan terus bertahan sampai sekarang.

"Sebagai pelakon, apa yang saya buat sangat menggembirakan semua peminat dan saya juga bangga dengan senarai filem lakonan.

"Sebab ada orang terpaksa buat kerja yang mereka tidak suka dan benci contohnya masuk pejabat dan baca kontrak," katanya.

Terdahulu, Maya membuat pengakuan dirinya berdepan dengan masalah anxiety dalam satu temubual pada 2021 sehingga gagal dalam uji bakat filem Crazy Rich Asian.

Setahun selepas itu, dia diserang panik, menggigil dan hampir pitam ketika menyampaikan anugerah di Festival Filem Malaysia ke-32 (FFM), namun dibantu pelakon Faizal Hussein yang menjadi gandingannya ketika itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 April 2024 @ 5:57 PM