Maya pada pelancaran Kempen Tanggungjawab Sosial ‘Akhiri Buli Siber & Penyebaran Maklumat Palsu. FOTO HALIMATON SAADIAH SULAIMAN
Maya pada pelancaran Kempen Tanggungjawab Sosial ‘Akhiri Buli Siber & Penyebaran Maklumat Palsu. FOTO HALIMATON SAADIAH SULAIMAN
Ramlah Zainal


PELAKON popular Maya Karin mengakui pernah berdepan kes buli siber yang serius hingga mengancam keselamatan dirinya dan keluarga pada Ogos tahun lalu.

Malah, kata pemilik nama sebenar, Maya Karin Roelcke, 37, dia terpaksa membuat laporan polis berhubung kes buli siber berbaur ugutan itu.

“Kes buli siber itu membabitkan seorang wanita berusia 20-an yang berterusan menghantar mesej ugutan di laman sosial milik saya iaitu Facebook (Fb), Twitter dan Instagram.

“Ia bukan sekadar kecaman mengganggu mental malah lebih teruk lagi ugutan melampau hingga membabitkan keselamatan ahli keluarga saya di Jerman,” katanya.

Menurut pelakon filem Munafik 2 ini, dia membuat laporan kepada pihak berkuasa selepas berbincang bersama ahli keluarga serta mendapat nasihat adiknya yang berkhidmat sebagai peguam.

“Terus terang, ia kes buli paling serius pernah melanda diri saya sepanjang bergelar selebriti.

“Selama ini, saya lali dengan pelbagai kecaman tetapi kes buli siber itu sangat serius kerana ia benar benar mengancam keluarga.

"Ahli keluarga saya sangat terkejut dengan pelbagai ugutan yang dihantar di media sosial saya itu,” katanya.

Maya ditemui pada majlis pelancaran kempen tanggungjawab sosial, akhiri buli siber dan penyebaran maklumat palsu yang berlangsung di KLPac, Kuala Lumpur, hari ini.

Maya kini lega kerana pembuli siber itu sudah ditangkap pihak polis di Melaka, baru-baru ini.

“Saya berterima kasih kepada pihak polis kerana cepat mengambil tindakan kerana tidak sampai sebulan dia berjaya ditahan reman selama tiga hari.

"Selepas ditahan reman dia juga mengaku bersalah dan sudah membayar denda.

"Selepas disiasat pihak polis, pembuli siber itu bukanlah peminat fanatik dan saya tidak kenal pun siapa dirinya kerana dia menggunakan akaun palsu," katanya.

Apapun, Maya berharap kes buli siber membabitkan dirinya itu memberi pengajaran pada orang lain.

"Saya berharap semoga mereka menjadi mangsa buli siber akan memandang serius kes itu dan membuat laporan kepada pihak berkuasa dengan segera," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 April 2018 @ 5:56 PM