AISHA Retno nafi guna pengaruh ibu, Retno Aryan untuk beraksi di Festival Java Jazz 2024 .
AISHA Retno nafi guna pengaruh ibu, Retno Aryan untuk beraksi di Festival Java Jazz 2024 .
Ramlah Zainal


Selepas bergelar naib juara Anugerah Juara Lagu ke-38 (AJL38), Aisha Retno bakal beraksi di Festival Java Jazz 2024 sekali gus melakar satu lagi sejarah dalam karier nyanyiannya.

Festival Java Jazz 2024 yang membariskan ramai penghibur hebat Indonesia dan penyanyi serantau itu bakal berlangsung pada 24 hingga 26 Mei depan di JiExpo Kemayoran, Jakarta, Indonesia.

Aisha atau nama sebenarnya, Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam, 23, berkata, dia sangat teruja kerana impiannya untuk beraksi di pentas yang membariskan ramai penghibur hebat Indonesia serta penyanyi serantau itu bakal menjadi kenyataan.

"Alhamdulillah, saya sudah lama impi untuk beraksi di festival muzik bertaraf antarabangsa itu sejak menontonnya sendiri bersama ibu kira-kira 10 tahun lalu.

"Mewakili Malaysia untuk festival ini adalah pencapaian terbesar dalam karier seni kerana dapat muncul dalam salah satu festival jazz terbesar dunia sekali gus dapat melebarkan sayap ke Indonesia," katanya.

Aisha berkata, dia sangat bersyukur apabila dimaklumkan berita itu daripada penganjur.

"Ini adalah festival muzik yang ibu perkenalkan ketika saya masih kanak-kanak. Akhirnya, 10 tahun kemudian, saya bakal beraksi di festival itu. Sungguh indah perancangan Allah.

"Ini adalah untuk keluarga, rakan-rakan terutama peminat tempatan mahupun di luar negara yang menyokong karier muzik sejak lima tahun lalu," katanya.

Ditanya sama ada dia mendapat tawaran itu kerana menggunakan pengaruh ibunya yang juga penyanyi terkenal Indonesia pada era 1980-an, Jean Retno Aryani, Aisha menafikannya.

"Bukan mudah untuk saya melebarkan sayap ke sana walaupun ada darah Indonesia. Sebenarnya, lagu saya W.H.U.T pernah tular pada 2021 dan membuka mata pihak organisasi di sana untuk mengundang saya menjayakan festival berkenaan.

"Saya juga berharap lagu Melayu dendangan saya akan diterima peminat di sana. Maaf, saya tak pakai kabel (orang dalam), saya percaya penganjur tawarkan saya beraksi di festival itu kerana menilai bakat dan pencapaian saya dalam bidang muzik," katanya.

Antara penyanyi tempatan yang pernah beraksi di festival itu adalah Datuk Sheila Majid, Atilia dan Elvira Arul.

Sementara itu, Festival Java Jazz 2024 kali ke-19 ini bertemakan 'Embracing Unity Through Music' dan bertujuan untuk mendorong kebersamaan dan menyatukan kita melalui bahasa muzik yang universal.

Antara yang turut membuat persembahan ialah Allan Anderson dan Key B, Ananda Badudu, Ardhito Pramono, Arumtala, Arya Novanda, Barry Likumahuwa dan The Rhytm Service: Salute The Rollies, Bilal Indrajaya, Brian Bromberg, Paul Brown, Michael Paulo, Brian Simpson menampilkan Rebecca Jade dan Darryl Walker.

Selain itu, Caste, Coldiac, Dua Empat, Eliane Elias, Gary Anthony feat Ron King Big Band, Idgitaf, Incognito, Indro Hardjodikoro feat. Indra Qadarsih, Jessie Revez, Joyce Wrice, Kennedy Administration, Keyon Harrold, KIM (Arsy Widianto, Rachel Rae, dan Gusty Pratama), KSP Band, Kurosuke, dan Leo Amuedo.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 April 2024 @ 6:20 AM