AISHA Retno.
AISHA Retno.
Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: Penyanyi dan komposer muda, Aisha Retno, 23, menjadikan komen Datuk Seri Siti Nurhaliza yang memuji bakatnya sebagai pembakar semangat untuk beraksi dengan lebih baik di kemuncak Anugerah Juara Lagu Ke-38 (AJL38) nanti.

Aisha atau nama sebenarnya, Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam berkata, dia sangat berbesar hati dan menghargai komen diberikan penghibur tersohor itu yang disifatkan antara individu penting melihat perjalanan karier nyanyiannya.

"Kata-kata semangat dan harapan Tok Ti (panggilan kepada Siti) menerusi komen ditulisnya di media sosial itu sangat saya hargai. Jauh di sudut hati, saya amat berbesar hati.

"Tok Ti boleh dikatakan individu penting yang melihat perjalanan karier seni saya dari mula ketika dalam Big Stage musim keempat dulu apabila beliau juga adalah juri program itu," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Aisha, dia juga terkejut ketika lagu Sutera nyanyian dan ciptaannya diumumkan sebagai Lagu Terbaik pada episod kedua Separuh Akhir Muzik-Muzik 38 (SFMM38) yang berlangsung 16 Disember lalu.

Malah, katanya dia turut tidak menyangka lagu Sutera berjaya membawa dirinya buat kali pertama layak melangkah beraksi di acara berprestij kemuncak AJL38 yang akan berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 3 Mac, tahun depan.

Ditanya juga persiapannya, Aisha berkata, ia masih diperingkat awal dan dalam perbincangan bersama pasukan gerakan kerjanya untuk mencari konsep persembahan sesuai.

"Apapun, ini rezeki daripada Allah dan kali pertama untuk saya meraih peluang melangkah beraksi di final AJL38. Saya teruja, gementar dan terharu dengan sokongan ramai terhadap lagu Sutera hasil ciptaaan saya bersama MFMF.

"Cuma, persiapan belum berjalan lagi sebab masih dalam perancangan dengan pasukan, tapi saya bertekad akan membuat yang terbaik dan enggan mensia-siakan rezeki ini serta peluang keemasan yang diperolehi," katanya.

Terdahulu, menerusi hantaran di Instagram Siti menyifatkan Aisha memiliki bakat yang hebat dan mendoakan agar lagu Sutera berjaya di pentas AJL38, sekali gus bersaing dengan 11 lagi lagu lain yang terpilih.

"Insya-Allah, kalau ada rezeki tak ke mana ya. Adik (Aisha) sangat berbakat besar," tulisnya pada hantaran berkenaan.

Difahamkan dalam hantaran sama, Siti turut mengulang siar atau 'repost' semula sebuah berita dia memuji persembahan Aisha di SFMM 38, yang tak dinafikan persembahan lagu Sutera itu mendapat pujian orang ramai.

Malah, beberapa video persembahan Aisha yang dikongsikan semula dan tular di TikTok turut menarik perhatian Siti apabila meninggalkan komen pada sepotong video dengan menulis,  'terer Aisha ni ya'.

Selain menyanyi, Aisha juga turut melebarkan bakatnya sebagai pelakon dan pengacara, selain dia juga memastikan penampilan dirinya sentiasa bergaya sebagai selebriti dikenali.

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Disember 2023 @ 9:25 PM