Kamarulzaman Taib.
Kamarulzaman Taib.
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: "Lagu ini boleh dipuji daripada segi melodi dan komposisinya. Ia segar dan muda.

"Jika diamati lenggok dalam lagu ini, ada disuntik lenggok kemelayuan dan sesuai dengan rima. Ia kedengaran seperti pantun atau seloka."

Ini pandangan ikhlas penulis lirik terkenal Kamarulzaman Taib atau Che Kem berkenaan lagu tular Alamak Raya Lagi! nyanyian trio De Fam.

Menurutnya, secara keseluruhan dia melihat lagu ini mahu membangkitkan suasana kecoh dan meriahnya suasana menjelang Raya.

"Ia merakam pengalaman realiti kita membuat persiapan seperti masak kuih, anyam ketupat, gosok pakaian, kesesakan lalu lintas dan elemen gaya hidup kini seperti kata WiFi (sistem rangkaian pautan tanpa wayar yang menggunakan hubungan jalurlebar, titik capaian) dan IG (Instagram).

"Namun ditemui beberapa kelemahan ketara sama ada ia disengajakan atau tidak sengaja. Dalam berkarya, apabila karya terhasil bermakna seorang karyawan telah dengan cermat membuat pilihan terbaik daripada pelbagai segi sebelum karya itu menemui khalayak.

"Dalam hal ini saya anggap pengkarya secara sedar telah meneliti konsep, mood, pendekatan dan pemilihan elemen dalam lagu Alamak Raya Lagi!

"Frasa Alamak Raya Lagi! secara berulangan menunjukkan hasrat utama penulis. Membawa maksud satu kedatangan hari raya yang tak dijangka," kata penulis lirik lagu Nirmala nyanyian Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Tambahnya penggunaan kata 'lagi' memberi konotasi yang sedikit negatif pada kata 'Raya' itu dan menasihatkan agar karyawan seni lebih berhati-hati apabila menghasilkan sesebuah karya.

"Jika mahu mencipta gimik atau kelainan bukan cara merendah pemikiran dan membiarkan pendengar atau khalayak terasuh kepada hal yang tidak elok.

"Komposer, penulis lirik dan penyanyi punya tanggungjawab besar bukan sekadar hiburan," katanya.

Terdahulu, lagu Raya alaf baru yang 'catchy' dari trio dianggotai Azira Shafinaz, Cik Manggis dan Sophia Liana ini berjaya menambat hati netizen sehingga tular di media sosial ketika ini.

Sehingga kini, Muzik Video lagu Alamak Raya Lagi sudah mencecah tontonan lebih 1 juta di platform YouTube selepas dilancarkan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mac 2024 @ 12:49 PM