Azrey Hendery
Azrey Hendery
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: "Paling gempak!" Itu komen diberikan penyanyi yang juga anggota kumpulan DeFam, Azira Shafinaz terhadap video lagu Alamak Raya Lagi! yang dibuat pengguna TikTok AzreyKun.

Menerusi video itu, AzreyKun atau nama sebenar Azrey Hendery, 23, mencipta kelainan dengan mempersembahkan lagu raya yang kian tular itu dalam enam bahasa.

Selain bahasa Melayu, bahasa lain yang digunakan adalah Sepanyol, Korea, China, Jepun dan Inggeris.

"Saya memang ajar orang mengenai bahasa asing. Saya ajar dengan pelbagai cara. Ada secara langsung, buat video pendek dan komedi. Tetapi, apa saya perasan adalah kalau dibuat dalam lagu, orang lebih tertarik.

"Sebelum ini pun saya banyak ubah lagu dalam pelbagai bahasa, ia dapat sambutan. Cuma kali ini orang minta saya buat lagu raya pula. Jadi, saya pilih lagu Alamak Raya Lagi! dengan pelbagai bahasa.

"Jadi, dari situ saya perasan sebenarnya kalau mengajar menggunakan lagu akan lebih ramai tertarik daripada cara lama," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya yang berasal dari Tongod, Sabah, menyesuaikan perkataan bahasa asing dalam lagu raya itu adalah susah.

"Nak cari perkataan sesuai memang susah. Sebab cara sebutan bahasa asing dengan sebutan kita tak sama. Kalau nak padankan dengan lagu susah, jadi kena buat banyak kajian supaya penghayatan lagu sampai.

"Apa pun, saya gembira sangat sebab apa yang kita buat orang suka. Saya berharap kandungan video saya mengenai bahasa asing akan lebih diterima orang ramai.

"Dalam masa sama, saya mahu mendidik golongan muda supaya lebih terbuka untuk belajar bahasa asing," katanya.

Menurutnya yang juga penerbit dan pengurus media sosial di sebuah syarikat penerbitan di Johor Bahru, dia mengajar bahasa asing itu menerusi media sosial.

"Kalau nak kata mahir, tidaklah sangat. Tetapi saya boleh berkomunikasi dengan banyak bahasa dan ajar orang.

"Mungkin ingat saya cikgu, tapi bukan. Saya hanya mengajar dari kandungan di TikTok, YouTube dan Instagram," katanya.

Perkongsian video lagu raya itu sudah mencecah lebih 1.5 juta tontonan, hampir 70,000 tanda suka, lebih 600 komen dan lebih 2,000 perkongsian semula.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mac 2024 @ 3:13 PM