Michael Learns To Rock
Michael Learns To Rock
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Kumpulan legenda Michael Learns To Rock (MLTR) bakal menjayakan Konsert MLTR Back On The Road Tour Live in Malaysia 2022 pada 22 Oktober, jam 8.30 malam, di Arena of Stars, Resorts World Genting.

Dianjurkan MIC Entertainment Group, kali terakhir kumpulan dari Denmark terbabit mengadakan konsert di Malaysia adalah pada 2015.

Kini tinggal dianggotai Jascha Richter, Mikkel Lentz dan Kåre Wanscher, pastinya ramai masih menggilai kumpulan yang cukup popular dengan lagu hit termasuk Take Me To Your Heart, 25 Minutes, That's Why You Go Away, dan Paint My Love itu.

Kumpulan yang berasal dari Aarhus, Denmark dan mula aktif sejak 1988 itu sudah menghasilkan sembilan buah album rakaman studio dan 19 album kompilasi.

Seiring dengan populariti lagu mereka, MLTR berjaya merangkul pelbagai anugerah emas, platinum dan multi-platinum. MLTR juga berjaya mencatat jualan melebihi 11 juta album di peringkat global dan lebih daripada enam juta lagu-lagu kumpulan tersebut dimuat turun secara berbayar.

Malah muzik MLTR masih bertahan sehingga kini dan terus menjadi pilihan peminat untuk distrim dan ditonton menerusi platform digital di seluruh dunia.

Sejak kemunculan mereka, MLTR sering memenangi pelbagai anugerah di banyak negara dan mereka sudah mengadakan lebih 600 konsert di pelbagai negara.

Maklumat lanjut layari www.rwgenting.com atau my.bookmyshow.com.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Ogos 2022 @ 12:58 PM