Barisan penyampai radio Suria FM
Barisan penyampai radio Suria FM
Najiy Jefri


Petaling Jaya: Biarpun kontroversi penamatan kontrak penyampai radio, Tyzo yang berakhir pada 12 Januari lalu masih belum reda, namun Suria FM tampil memperkenalkan 'keluarga baharu' mereka iaitu pelawak Chiwan, Datuk Fizz Fairuz dan Kai Hassan.

Bermula 21 Januari ini, Chiwan akan menggantikan Tyzo sekali gus bergandingan dengan Shahrifah Shahirah untuk segmen Suria Petang setiap Isnin hingga Jumaat bermula jam 3 petang.

Dalam masa sama, Suria FM turut mengumumkan dua lagi penyampai baharu iaitu pelakon Datuk Fizz Fairuz dan Kai Hassan.

Menurut Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abdul Majid atau DJ Lin, kemasukan penyampai baru di Suria FM adalah salah satu langkah stesen itu seiring dengan keperluan semasa untuk memantapkan dan mengukuhkan lagi tunggak utama barisan penyampai sebelum menjelang 'Radio Survey' bermula 18 Februari ini.

"Datuk Fizz Fairuz bakal ke udara di segmen Morning Morning Suria bersama Ajak dan Suraya pada setiap Isnin hingga Jumaat dari jam 6 pagi sehingga 10 pagi manakala Kai Hassan mengambil alih segmen Morning Morning Suria dan Carta Suria Top 40 sepanjang tempoh Suraya bersalin bagi memastikan kelangsungan kualiti kandungan bagi kedua-dua segmen ini.

"Setiap penyampai dipilih melalui proses pemilihan yang teliti, menekankan kemahiran profesional dan pengalaman luas selain mempunyai bakat serta minat yang mendalam dalam bidang penyiaran radio," katanya.

DJ Lin ditemui pada majlis sidang media memperkenalkan penyampai baharu dan seleksi program menarik Suria 2024 semalam.

Dalam pada itu, Fizz berharap kehadirannya di segmen Morning Morning Suria dapat menyerikan hari pendengar setia stesen radio itu.

"Satu cabang kerja baru dalam hidup saya. Kehidupan saya akan berubah dengan tanggungjawab baharu ini. Saya kini perlu belajar bekerja mengikut waktu pejabat.

"Ketika tawaran ini datang saya tidak keberatan untuk menerimanya. Semoga dapat memberi kelainan kepada pendengar," katanya.

Sebelum sah memulakan tugas, Fizz sudah beberapa kali tampil sebagai penyampai jemputan untuk Segmen Morning Morning Suria.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 January 2024 @ 8:35 AM