Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Barisan penyampai Suria FM bakal menyantuni penduduk di lokasi terpilih di Pulau Pinang, Johor, dan Lembah Klang bagi program Ybae Suria Masuk Kampung sempena kempen Ramadannya, Raikan Yang Dirai.

Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abdul Majid (DJ Lin), berkata program yang bermula 16 Mac itu adalah bagi membalas sokongan pendengar setia stesen radio terbabit.

"Ia bertujuan untuk mengimarahkan kedatangan bulan Ramadhan Al-Mubarak dengan berkongsi rezeki selain menghargai kesetiaan pendengar setia. Sekali gus, mengeratkan lagi hubungan yang terjalin antara penyampai dan pendengar Suria FM.

 

"Di kesempatan ini juga, saya mewakili seluruh warga kerja Suria FM ingin mengucapkan Salam Ramadan Al-Mubarak kepada semua khasnya untuk pendengar setia kami di mana pun mereka berada," katanya.

Ybae Suria Masuk Kampung bermula 16 Mac sehingga 30 Mac dengan menampilkan barisan penyampainya di beberapa lokasi terpilih seperti di Kepala Batas, Pulau Pinang (16 Mac), Muar, Johor (23 Mac), dan Lembah Klang (30 Mac).

Untuk Kepala Batas, penyampai Datuk Fizz Fairuz, Ajak, Kai Hassan, Cik Piah, Rara, Chiwan dan DJ Lin, akan turun padang bagi menyantuni penduduk sekitarnya bertempat di Masjid Al-Jamiul Badawi, pada Sabtu ini.

Acara bermula seawal 10 pagi itu akan dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti menarik antaranya rewang bersama penduduk, pengagihan bubur kanji, berbuka puasa, solat terawih berjemaah.

Bagi menjayakan kempen #SuriaKongsiRezeki, Suria FM akan turut menyerahkan sumbangan kepada pihak masjid serta kanak-kanak dan warga emas yang hadir.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, selaku ADUN Bertam.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mac 2024 @ 6:03 PM