Anuar Zain
Anuar Zain
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Penyanyi Anuar Zain, 53, takut menyanyi lagu rock apalagi mengubah sesebuah karya rock kepada corak nyanyian sendiri kerana tahu genre itu tidak sesuai untuknya.

Anuar atau nama sebenarnya Shahrul Anuar Zain berkata, dia perlu sedar diri bahawa corak nyanyiannya tidak sesuai dan menyifatkan setiap genre adalah khas buat penyanyi tertentu saja.

"Lagu rock ini bergantung, saya suka 'soft rock'. Paling saya suka lagu Kamelia. Tapi kalau saya nyanyi dengan cara saya, habis. Saya tak berani nak nyanyi. Genre muzik tertentu itu suci hanya untuk orang tertentu.

"Bila nyanyi dengan cara kita, tak kena. Sebab orang sudah biasa dengan cara nyanyian (rock) lebih hebat, tiba-tiba nyanyikan ikut cara kita. Ikut logik dan pendapat saya, tak payahlah saya cuba. Rock janganlah, kena marah nanti.

"Suara saya bukan rock punya. Suara rock ini khas. Bukan senang nak nyanyi. Tapi saya suka dengar beberapa lagu. Bukan jiwa saya, tapi banyak juga saya boleh dengar," katanya pada sesi santai bersama media sempena promosi Konsert AZ40 Up Close & Personal, semalam.

Berkongsi mengenai konsertnya, penyanyi Teman Terulung itu mendedahkan penganjurannya tercetus selepas konsert AZ40: Ulang Tahun Ke-40 Anuar Zain pada hujung Oktober tahun lalu.

Justeru, untuk konsert akan datang, acaranya akan jauh lebih intim dan terhad.

"Cuma 1,000 penonton saja. Kamu tahu saya bagaimana, saya akan turun dari pentas, borak-borak. Nama pun eksklusif kan. Lepak-lepak dengan penonton.

"Banyak yang kata tak boleh 'move on' selepas lebih dua bulan. Masih lagi muat naik dan saya 'repost'. Jadi kami cuma ingin buat sesuatu yang lebih intim dan dekatlah," katanya.

Konsert AZ40 Up Close & Personal akan berlangsung pada 17 Februari, jam 3 petang, di Jiospace, Petaling Jaya. Acara terbabit dianjurkan JioBuddy dan Anuar Zain Network.

Setakat ini, tiketnya sudah terjual lebih 70 peratus dan pembelian boleh dibuat menerusi laman web.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 January 2024 @ 4:41 PM