AKUI kembali dapat tempias populariti selepas sertai GV2.
AKUI kembali dapat tempias populariti selepas sertai GV2.
Oleh Sudirman Mohd Tahir


Persembahan penyanyi, Siti Nordiana, 31, menerusi lagu Madah Berhelah di konsert kedua program Gegar Vaganza 2 (GV2) minggu lalu mendapat pujian ramai.

Meski tidak menggunakan ‘key’ asal penyanyi lagu terbabit iaitu Ziana Zain, Siti Nordiana atau lebih mesra disapa Nana dilihat punya kelebihan tersendiri.

Sebagai inisiatif pembabitannya di dalam pertandingan ini, Nana mengikuti kelas vokal bimbingan penyanyi muda yang juga juara Bintang RTM 2009, Ernie Zakri.

“Saya pernah menyertai kelas vokal Cikgu Syafi, tetapi hanya separuh jalan.

“Selepas dapat tawaran GV2, saya belajar vokal de­ngan Ernie.

“Saya percaya dia bagus dan yakin dengan ilmu, pe­ngalaman serta kemampuannya,” katanya.

Menurut Nana, kelas vokal penting memandangkan dia perlu bersaing dengan ramai penyanyi hebat.

Mengulas persembahannya minggu lalu, Nana mengakui gementar apabila menjadi orang kedua terakhir yang dipanggil ke atas pentas.

Tegasnya, menyanyikan lagu Ziana Zain bukan mudah dan menuntutnya banyak berlatih.

“Lagu Kak Ziana ini sangat popular dan susah nak di­nyanyikan. Saya selalu nyanyi lagu ini di pusat karaoke saja, jadi penyampaiannya berbeza.

“Apabila dibawa ke pentas pertandingan, tak sangka pula banyak yang salah. Tapi tak mengapa, sekurang-kurangnya saya tahu kelemahan diri dan boleh perbaiki,” katanya.

Pada konsert ketiga yang akan berlangsung pada malam esok, Nana diberi tugasan menyampaikan lagu Kasihnya Laila dendangan kumpulan Jinbara.

“Ini lagi satu cabaran untuk saya. Memandangkan tak pernah nyanyi lagu rock, jadi saya minta tunjuk ajar Lan Kristal.

“Saya sudah lama tak berhubung de­ngan anggota kumpulan Jinbara dan berharap mereka suka dengan gaya penyampaian saya malam esok,” katanya.

Tak kisah dikritik

Biarpun sudah 16 tahun melakar nama sebagai penyanyi, Nana tidak melihat ia sebagai satu kelebihan.

Malah dia tidak segan mengakui banyak kelemahan yang perlu diperbaiki dan tidak kisah dikritik barisan juri.

“Dulu saya sudah lali dengan kritikan peminat. Pun begitu apabila juri profesional yang mengkritik, rasanya memang lain. Selama ini saya tak pernah lalui situasi ini dan ia buka mata saya terhadap banyak perkara terutama kelemahan diri.

“Saya tak rasa setiap kritikan itu menjatuhkan kredibiliti saya sebagai penyanyi profesional, sebaliknya ia bersifat membina. Saya tak kecil hati jauh sekali putus asa,” katanya.

Nana turut mengakui, sejak terbabit dengan GV2 dia kembali merasai tempias populariti seperti awal kemunculannya pada 1999.

“Saya dapat rasainya terutama apabila ramai peminat memuat naik persembahan saya di laman sosial.

“Selepas sekian lama, saya dapat aura itu kembali,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Oktober 2015 @ 5:02 AM