CAKRA bijak berinteraksi dengan penonton.
CAKRA bijak berinteraksi dengan penonton.
BOB sebagai pengacara dan penyanyi jemputan turut berduet dengan Cakra.
BOB sebagai pengacara dan penyanyi jemputan turut berduet dengan Cakra.
Oleh Sudirman Mohd Tahir


Lagu Harus Terpisah berjaya membawa nama Cakra Khan, 23, ke persada seni muzik tempatan. Sambutan yang diberikan sangat luar biasa. Menerusi lagu itu juga, Cakra yang dilahirkan di Pangandaran, Jawa Barat, Indonesia berjaya meraih pelbagai anugerah sama ada di dalam mahu pun luar negara. Keunikan vokalnya yang serak-serak basah menjadikan dia berbeza dengan penyanyi popular lain.

Bukan sekali dua dia dijemput membuat persembahan di Malaysia, tetapi sudah banyak kali. Malah, persembahan Sky Gateway With Cakra Khan yang berlangsung di Menara Kuala Lumpur malam Sabtu lalu dianggap cukup istimewa.

“Ini penampilan pertama saya di sini yang mana lebih dekat dengan penonton yang hadir. Apabila di beritahu konsep persembahan lebih kepada ‘up close and personal’, saya jadi suka dan senang. Dari situ saya dapat berinteraksi lebih dekat dengan mereka,” katanya.

Membuka tirai nyanyiannya dengan lagu Have I Told You Lately, penonton yang hadir mula tidak senang duduk. Cakra tidak hanya membuai rasa dengan lantunan vokal mantapnya, tetapi gurau senda yang dituturkan membuat peminat rasa lebih dekat dengannya.

Menurut Cakra, itu salah satu cara untuknya menghilangkan rasa gementar di samping dapat menghiburkan peminat bukan saja dengan nyanyian juga lawak jenaka ringan.

“Saya memang tidak suka serius apabila membuat persembahan. Sebab itu saya buat lawak agar penonton tidak rasa terlalu bosan. Lagi pula, kehadiran saya bukan setakat menyanyi tetapi juga untuk menghiburkan mereka yang datang,” katanya.

Deretan lagu yang dipersembahkan ternyata begitu dekat dengan peminat. Meski daripada 15 lagu itu hanya empat lagu nyanyiannya sendiri, Cakra bagaimana pun puas dengan pilihan lagu yang dibuat.

“Daripada album pertama saya, memang hanya empat lagu yang baru diperdengrkan kepada umum. Selebihnya belum dipasarkan lagi. Justeru, saya memilih lagu popular lain untuk dinyanyikan.

“Lagu Inggeris yang dipersembahan semuanya yang selalu saya nyanyikan. Sementara lagu Bukan Dia Tapi Aku (Judika) dan Lelaki Ini (Anuar Zain) adalah lagu kegemaran saya,” katanya.

Menggamatkan lagi suasana, Cakra memanggil penyanyi popular senegaranya, Syahrini untuk menyanyi dengannya menerusi lagu Seluruh Cinta nyanyian asal bersama Datuk Siti Nurhaliza.

Biarpun slot itu dilakukan secara spontan tanpa pengetahuan Syahrini, ia tetap menghiburkan.

Kehadiran Syahrini pada malam itu adalah atas tiket tetamu jemputan. Namun, dia tetap ‘sporting’ memenuhi permintaan Cakra meski tanpa sebarang latihan.

“Kalau di beritahu lebih awal saya pasti akan lebih bersedia. Ini tidak, sehingga saya perlu menyanyi sambil melihat lirik. Nasib baik saya boleh nyanyi kalau tidak malu saya,” kata Syahrini berseloroh.

Selain Syahrini, persembahan Cakra bersama peminat menerusi lagu Bukan Dia Tapi Aku dan Harus Terpisah juga mendapat tepukan gemuruh. Tidak dinafikan lagu yang dipilih pada malam itu cukup dekat dengan penonton. Masakan tidak, setiap lagu yang dinyanyikan Cakra, dia akan meminta peminat menyanyi dengannya.

Dua jam persembahan dirasakan tidak puas. Seakan tidak mahu melepas Cakra pergi, dua lagu bonus diberikan. Salah satunya lagu Menghitung Hari duet dengan Bob Yusof. Bagi menutup tirai persembahan, Cakra memenuhi permintaan ramai dengan menyampaikan lagu Kopi Dangdut.

“Terima kasih di atas kesempatan yang diberikan. Walaupun persembahan ini bukan berskala konsert, tetapi saya akan terus menyanyi dan menghiburkan anda. Saya bersyukur kerana terus diterima di Malaysia. Teruskan menyokong kerjaya saya,” katanya.

Impian buat konsert besar

Sebagai penyanyi pasti ada impian untuk mengadakan konsert berskala besar. Sama macam Cakra, impian itu ada tetapi bukan sasaran utama.

“Kalau ada yang sudi menaja , saya ok saja sajaa. Menjadi penyanyi bukan itu cita-cita utama, sebaliknya saya ikut aturan dan rezeki yang datang. Tetapi saya percaya, setiap penyanyi punya impian itu.

“Seperti sekarang, saya masih tidak percaya dapat jemputan mengadakan persembahan di Malaysia. Kalau tidak ada konsert pun, apa yang penting saya akan terus menyanyi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mei 2015 @ 10:59 AM