Peserta Malaysia di Miss International di Tokyo, Cassandra Yap.
Peserta Malaysia di Miss International di Tokyo, Cassandra Yap.
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Peserta Malaysia, Cassandra Yap berjaya menamatkan kemarau penantian selama 58 tahun apabila berjaya menjadi finalis Top 15 di pertandingan ratu cantik berprestij dunia, Miss International di Tokyo, Jepun, semalam.

Cassandra, 24, menjadi wakil negara ketiga berjaya layak peringkat itu dalam pertandingan yang dianjurkan sejak tahun 1960 selepas Helen Tan pada 1961 dan Linda Lim pada 1965.

Pada edisi tahun ini, seramai 70 peserta dari seluruh dunia bertanding. Penilaian untuk menentukan 15 yang terbaik dibuat sejak mereka tiba di Tokyo pada 12 Oktober lalu serta pada pentas akhir semalam.

Selain Malaysia, finalis Top 15 yang layak adalah dari Thailand, Panama, Mexico, Peru, Greece, Ivory Coast, Bolivia, Republik Dominica, Vietnam, Puerto Rico, Filipina, Colombia, Hong Kong dan Venezuela.

Pada pentas akhir itu, Cassandra menggayakan gaun malam berona hijau rekaan Jimmy Couture. Bagaimanapun, dia tidak berjaya ke pusingan Top 7 iaitu segmen soal jawab.

Cassandra bekerja sambilan dalam pelbagai sektor termasuk peragaan, pencipta kandungan serta memiliki pengalaman luas memasuki ratu cantik.

Terdahulu, anak jati Johor itu dinobatkan juara Miss International Malaysia 2023 pada 1 Oktober lalu sewaktu pertandingan kebangsaan yang berlangsung di Kota Kinabalu, Sabah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Oktober 2023 @ 12:16 AM