Mawi dan isterinya, Ekin.
Mawi dan isterinya, Ekin.
Syafil Syazwan Jefri

 

Kuala Lumpur: Penyampai radio yang juga penyanyi, Mawi dan isterinya, Ekin membuat satu laporan polis seterusnya memuat naik gambar serta video mengenai tindakan itu. 

Mawi atau nama sebenarnya Asmawi Ani ketika dihubungi berkata, dia dan isteri membuat laporan polis mengenai berita palsu yang disebarkan oleh beberapa individu tidak bertanggungjawab di Facebook, yang mendakwa rumah tangganya sedang berantakan. 

"Ya, saya buat laporan polis di Bangi, semalam. Ia berkaitan berita palsu yang disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab itu mengenai rumah tangga saya. Jadi, kami serahkan kepada pihak polis untuk melakukan siasatan," katanya kepada Harian Metro. 

Ditanya sama ada pihak terbabit cuba menghubunginya selepas dia membuat laporan polis, Mawi memaklumkan dia tidak menerima sebarang panggilan. 

Dalam hantaran yang dimuat naik Ekin atau nama sebenarnya Nora'Asikin Rahmat di Instagram yang turut dihubung (tag) ke akaun Instagram Mawi, Ekin menulis keterangan ringkas mengenai 'perang' yang akan bermula. 

"Perang bermula," tulisnya ringkas. 

Terdahulu, beberapa hari lalu, Harian Metro melaporkan mengenai kekesalan Mawi dengan penyebaran berita palsu membabitkan rumah tangganya. 

Menurutnya, berita yang tersebar di platform digital dan media sosial ini sekali gus menimbulkan persepsi buruk ramai pihak terhadapnya dan isteri. 

Dalam laporan sama, Mawi memaklumkan dia dan isterinya tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap pengendali portal yang menyebarkan berita palsu itu.

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Oktober 2023 @ 10:04 PM