Imran Aqil dan isteri, Dahlia Rizal. Foto dari Instagram Story Imran Aqil.
Imran Aqil dan isteri, Dahlia Rizal. Foto dari Instagram Story Imran Aqil.
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Penyampai radio Hot FM, Imran Aqil, 24, selamat bergelar suami kepada wanita pilihannya yang juga pempengaruh media sosial, Dahlia Rizal dengan sekali lafaz pada majlis pernikahan di Ayer Keroh, Melaka, malam semalam.

Sebelum ini, Imran dan isteri, Dahlia, 22, mengikat pertunangan selama setahun dan mereka dinikahkan oleh jurunikah, Ustaz Nordin yang berwakil wali bapa pengantin perempuan, Ahmad Rizal.

Imran atau nama sebenarnya, Mohammad Imran Aqil Mohd Salehuddin berkata, dia bersyukur majlis pernikahan bersama isterinya berlangsung dengan lancar seperti dirancang.

"Alhamdulillah, dengan sekali lafaz, saya dan Dahlia, sah bergelar suami isteri. Sejujurnya, saya rasa agak gementar kerana nak menggalas tanggungjawab seorang suami bukan mudah.

"Namun, berkat doa ibu bapa kami dapat juga mengharungi pelbagai ujian dalam pertunangan yang akhirnya membawa kepada pernikahan ini. Saya ucap terima kasih kepada Dahlia kerana banyak bersabar dengan saya.

"Saya akui banyak kekurangan diri, tapi awak (Dahlia) sentiasa menyempurnakannya dan menerima saya seadanya," katanya yang juga pelakon drama Budak Tebing 2 di TV3.

Pada majlis pernikahan secara tertutup yang dihadiri ibu bapa, keluarga dan teman rapat itu, Imran menyerahkan mas kahwin RM300 kepada Dahlia dan wang hantaran pula dirahsiakan.

Imran yang juga adik kepada pelakon Nabil Aqil serta anak saudara pelakon Syafiq Kyle ini turut menyerahkan tiga dulang hantaran kepada pengantin perempuan dan dibalas lima dulang.

Terdahulu, pasangan Imran dan Dahlia atau nama sebenarnya, Nur Dahlia Ahmad Rizal mengikat tali pertunangan pada Ogos tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 September 2023 @ 2:29 PM