Barisan pelakon telefilem Ayahanda Ibrah Ramadan.
Barisan pelakon telefilem Ayahanda Ibrah Ramadan.
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Syarikat penerbitan Zeel Production teruja mempersembahkan telefilem Ayahanda Ibrah Ramadan yang akan ditayangkan di TV3, jam 10 malam ini.

Penerbitnya, Fadzil Teh berkata, jalan cerita telefilem itu adalah kisah yang tidak diceritakan dalam novel Ayahanda karya penerima SEA Write Award 1988, Allahyarham Azizi Abdullah.

"Telefilem Ayahanda Ibrah Ramadan ini sangat istimewa. Ia sebuah kisah yang tidak diceritakan, malah diinspirasikan dari watak novel Ayahanda karya Allahyarham Azizi Abdullah.

"Jalan cerita yang dipaparkan adalah prekuel iaitu kejadian tiga tahun dari kisah drama Ayahanda yang ditayangkan Julai tahun lalu.

"Saya berharap peminat boleh 'enjoy' dan paling penting menghayati setiap mesej yang disampaikan," katanya kepada Harian Metro.

Telefilem arahan Datuk Ahmad Tamimi Siregar itu masih mengekalkan barisan pelakon sama seperti Jalil Hamid, Fauziah Ahmad Daud, Fikry Ibrahim, Noorkhiriah, Hairi Safwan, Shahz Jaszle dan Rita Nadira.

"Saya nak berterima kasih kepada semua barisan pelakon terbabit kerana komitmen dan lakonan hebat diberikan. Walaupun selepas hampir setahun drama ini ditayangkan, tapi mereka masih boleh membawakan watak masing-masing dengan baik.

"Apa yang menarik, telefilem ini menampilkan Tasha Shilla. Sudah lama Tasha tidak berlakon dengan Zeel Production. Apa watak Tasha, kena nantikan malam ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Mei 2022 @ 5:03 PM