Adibah dah boleh agak pengakhiran dengan suami.
Adibah dah boleh agak pengakhiran dengan suami.
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: "Saya dah boleh agak dan dapat rasakan pengakhirannya begini (cerai). Kalau sedih pun, sedih mengenangkan anak-anak," kata Adibah Abdul Mutalib, 50, juga bekas madu pelakon Miera Leyana.

Adibah pernah hidup bersama bekas suaminya, Rosland Othman, 50, selama 28 tahun selepas mendirikan rumah tangga pada 3 Jun 1995.

Hasil perkongsian hidup itu, mereka dikurniakan lima cahaya mata perempuan yang berusia antara 11 hingga 26 tahun.

Adibah berkata dia berasa kecewa, namun apa yang berlaku hari ini dengan keputusan perceraian dibuat oleh bekas suaminya sudah dapat diduga.

"Rasa hati ini hancur. Dah tak ada apa yang nak dicakapkan lagi," katanya kepada Harian Metro dalam nada tenang dengan riak wajah yang sedikit sugul.

Terdahulu, Rosland melafazkan cerai talak satu kepada Adibah tepat jam 10.50 pagi, di hadapan Hakim Mahkamah Rendah Syariah, Siti Noraini Mohd Ali di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, hari ini.

Rosland ketika di hadapan hakim berkata, dia membuat keputusan untuk lafaz cerai itu selepas tiada lagi persefahaman dan tiada perasan sayang terhadap Adibah.

Difahamkan juga perceraian itu berlaku selepas keputusan Jawatan Kuasa Pendamai (JKP) melaporkan kepada mahkamah bahawa perdamaian bagi kedua-dua pihak gagal dicapai.

Sehubungan itu, mahkamah mengarahkan atau memberi kebenaran kepada Rosland selaku pihak plantif melafazkan talak satu terhadap Adibah.

Pada 7 April lalu, Rosland memfailkan cerai terhadap Adibah di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur mengikut Seksyen 47, Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.

Bagaimanapun, Adibah menolak permohonan cerai difailkan Rosland itu kerana masih sayang dan mahu menyelamatkan perkahwinan yang sudah lama mereka bina.

Justeru, mahkamah mengarahkan kedua-dua pihak melantik wakil JKP dalam kes perceraian berkenaan.

Pada Julai 2020, Rosland berkahwin kali kedua dengan Miera Leyana. Hasil perkongsian hidup itu, mereka kini dikurniakan seorang cahaya mata perempuan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Ogos 2023 @ 3:27 PM