Hari ini Ahad pertama kita menyambut tahun baru 2015. Rasanya belum terlambat untuk mengucapkan Selamat Tahun Baru kepada semua pembaca, semoga tahun ini lebih baik daripada sebelumnya.

Walaupun negara kita tidak meraikan sambutan tahun baru sebagaimana kebiasaan Khamis lalu kerana menghormati tragedi banjir yang berlaku di kebanyakan negeri, rasanya lebih baik begitu kerana diisi majlis alternatif yang lebih bermanfaat.

Kalau biasanya Dataran Merdeka penuh sesak dengan warga kota menyaksikan persembahan konsert dan percikan bunga api sebaik detik 12 malam bermula, malam itu ribuan warga kota meraikan Malam Cinta Rasul 2015.

Semoga 2014 yang berlalu pergi dengan pelbagai tragedi menjadi pe­ngajaran untuk kita semua. Bermula masalah air apabila empangan kering di Selangor hingga catuan air berbulan-bulan lamanya, MH370 yang pergi tanpa berita sejak Mac, jerebu yang menyukarkan pandangan dan menyesakkan pernafasan, tragedi MH17 ditembak jatuh hingga me­ngorbankan semua penumpang dan anak kapal, kebocoran soalan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan akhir tahun kejadian banjir besar di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Negeri Sembilan dan Perak.

Kita juga tumpang simpati dengan kemalangan pesawat AirAsia QZ8501 yang mengorbankan semua penumpang dan anak kapal. Semua musibah ini sebenarnya banyak memberi pengajaran dan kesedaran kepada kita supaya lebih mengingati pencipta alam ini.

Semoga kedatangan 2015 memberi sinar baru kepada kita. Dunia seni tanah air juga lebih menyerlah dengan kehadiran ramai bakat baru dan pengkarya terus gigih berkarya supaya industri filem kita terus maju, begitu juga industri muzik.

Kurangkan kontroversi, tumpukan usaha kepada kerja supaya karya insan seni terus mendapat sokongan masyarakat. Namun, ada pula cerita membabitkan keluarga artis hingga menjadi bualan umum. Kalau artis tiada masalah, keluarganya pula menimbulkan masalah.

Masalah keluarga kecil hati dengan anak dan mempersoalkan majlis perkahwinan anak tidak perlu dihebohkan kepada umum. Apabila jadi bualan ramai, banyak cerita lama keluarga artis ini dibangkitkan semula.

Ada pula keluarga artis yang jadi pengurus dikatakan mula sombong dan berlagak diva apabila anak mereka semakin popular. Cerita ini bukan baru malah banyak yang kita dengar, dan terbaru membabitkan artis cilik berbakat besar.

Kalau sebut nama Puteri Balqis, tentu ramai kenal. Baru berusia tujuh tahun tapi punya bakat besar dalam lakonan hingga mencatat kejayaan besar menang Pelakon Wanita Terbaik di Anugerah Skrin 2014 pada November dan awal Disember pula menang Pelakon Wanita Terbaik Asia di Asian Televisyen Awards 2014 di Singapura.

Balqis juga bijak dan petah berkata-kata. Paling penting, sikapnya menghormati orang lain dan tidak sombong antara yang sangat membanggakan.

Bagaimanapun, dalam usia sekecil itu, Balqis baru-baru ini perlu berdepan krisis orang dewasa membabitkan ibu bapanya de­ngan pengarah dan produser JS Pictures, Jing­go atau Azman Yahya dengan Sheila Rusly.

Difahamkan, Balqis sepatutnya berlakon drama arahan Jinggo, Syurga Nur tetapi membatalkannya pada saat akhir. Timbul cerita ibu bapa Balqis mula lupa diri dan berlagak diva dan ia mula ditimbulkan Jinggo apabila berkongsi dengan umum kata-kata kurang sopan jawapan bapa Balqis terhadapnya.

Ibu Balqis, Norashikin Mohd Aziz tampil memberi kenyataan mendedahkan cerita sebenar. Katanya, apa yang ditulis di FB itu tidak benar dan fitnah semata-mata. Katanya, cerita itu juga sudah lama sebelum Balqis menang di Singapura pada 11 Disember lalu.

Norashikin mendakwa sebenarnya Balqis dipermainkan Jinggo dan Sheila kerana mereka beria-ia mahu anaknya berlakon drama untuk TV3.

Disebabkan ketika itu Puteri Balqis ada komitmen dengan drama Michael Ang, mereka meminta skrip dulu dan sepatutnya pelakon diberi bayaran pendahuluan apabila menerima skrip.

Norashikin mengatakan bayaran untuk Balqis tidak banyak, tidak seperti pelakon dewasa dan mereka dimaklumkan hanya dibayar untuk lima episod sedangkan wataknya untuk enam episod.

Dalam hal ini, bukan mahu menuding jari kepada mana-mana pihak, tetapi rasanya ia perkara kecil dan boleh dibawa berbincang.

Apabila membabitkan media sosial, mendedahkan diri mereka kepada komen umum yang kebanyakannya sangat pedih untuk ditelan. Ramai menyalahkan ibu bapa Balqis kerana se­olah-olah mempergunakan anak untuk kesenangan hidup.

Melihat rekod lakonan Balqis sejak mula berlakon pada 2011, sembilan drama bersiri dijayakan dan 22 telefilem dibintangi dan ia sangat banyak bagi kanak-kanak yang baru berusia tujuh tahun.

Hakikatnya, kanak-kanak seusia Balqis perlu membesar sebagaimana rakan seusianya di sekolah dan bermain bersama rakan sebaya, bukan banyak dihabiskan masa bekerja

di lokasi penggambaran.

Ada ramai pelakon kanak-kanak sekarang seperti Mia Sara yang mula menjadi perhatian ketika usia lima tahun tetapi mujur dihantar ke sekolah menimba ilmu bersama

kanak-kanak seusia dengannya.

Sudah tentu apabila bersekolah, hanya berlakon ketika cuti sekolah.

Begitulah seharusnya dan bukan menjadikan anak mereka sumber rezeki keluarga kerana ketika itu masa untuknya membesar dan belajar dengan kanak-kanak seusia.

Apa guna segala kejayaan jika zaman kanak-kanaknya 'hilang' kerana bimbang ia dijadikan alasan untuk memberontak secara halus apabila usia meningkat.

Hakikatnya, apa yang berlaku sekarang ialah ramai ibu bapa berlumba-lumba mahukan anak mereka menjadi artis. Bagi mereka, menjadi artis menjamin hidup mewah hingga ramai bangga apabila anak mereka jadi popular, kemudian meninggalkan alam persekolahan. Apabila ini terjadi, ramai artis kita yang cetek ilmu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 January 2015 @ 5:02 AM